Categories
GLOBAL

Taufan Maria selaju 175km/j bakal landa Caribbean

WASHINGTON 19 SEPT: Ribut Tropika Maria menambah kekuatan dan bertukar menjadi taufan kelmarin ketika menghala ke timur rantau Caribbean dengan tiupan angin lebih 175 kilometer sejam (kmj), kata Pusat Taufan Kebangsaan (NHC).

Amaran ribut dan nasihat berjaga-jaga meningkat di kebanyakan pulau di Laut Caribbean yang masih belum pulih selepas dibadai Taufan Irma awal bulan ini, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Ribut Maria bertukar kepada taufan Kategori Dua dalam skala taufan Saffir-Simpson. Ia berada 225 kilometer (km) ke timur laut Pulau Barbados dan bergerak pada kelajuan 24 kmj, kata NHC setakat kelmarin.

“Pusat Taufan Maria diramal bergerak melintasi Gugusan Pulau Leeward dan menuju ke tenggara Caribbean pada Selasa (hari ini),” katanya.

maria-steerSehubungan itu, amaran taufan telah dikeluarkan untuk Pulau St. Kitts, Nevis dan Montserrat, manakala pihak berkuasa mengeluarkan ‘nasihat berjaga-jaga’ di Kepulauan Virgin milik Amerika Syarikat dan Britain di mana sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh semasa Taufan Irma melanda.

Sementara itu, amaran ribut tropika pula dikeluarkan untuk Pulau Martinique, Antigua & Barbuda, Saba & St Eustatius dan St. Lucia.

Pulau Barbuda musnah akibat Taufan Irma pada 5 dan 6 September lalu apabila ia tiba di daratan di Rantau Caribbean sebagai taufan Kategori Lima.

NHC berkata, Taufan Maria akan mengakibatkan paras air laut meningkat dan mencetuskan ombak besar apabila ia melewati Gugusan Pulau Leeward.

Ribut itu juga diramalkan membawa hujan lebat di Gugusan Pulau Leeward, Puerto Rico dan Kepulauan Virgin British malam esok.

Keadaan itu berisiko menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh yang boleh mengancam nyawa.

=EZY=