Categories
NASIONAL

Dasar luar Tun M dan Najib bagai langit dan bumi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 SEPT: Walaupun terdapat beberapa tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menduduki jawatan Perdana Menteri mendapat kritikan hebat, namun beliau dilihat berjaya meletakkan negara ke landasan tepat.

Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, antara yang membanggakan rakyat adalah dasar luar Malaysia yang berani menunjukkan sikap tegas dalam pelbagai isu termasuklah melibatkan isu kemanusiaan di wilayah bergolak seluruh dunia.

Katanya, bagaimanapun hal ini berbeza bagaikan langit dan bumi dengan era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang menjadikan Malaysia hilang jati diri malah tunduk kepada kuasa besar demi kepentingan politiknya.

“Di era Dr Mahathir, kita lantang mengkritik dasar imperialisme Amerika Syarikat (AS) termasuk kedudukan AS yang selalu menekan timur dan perluasan kuasa di wilayah timur.

“Tetapi di era Najib, dasar luarnya tak pasti, tiada fokus,tidak pula bersifat hero kerana banyak perkara yang patut dikritik kita tak buat begitu,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Prof_Dr_Shaharuddin_BadaruddinJelasnya, Najib juga gagal menunjukkan pendirian Malaysia dalam pelbagai isu seperti isu Laut China Selatan yang didominasi China, isu kehilangan pesawat MH370 dan isu MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine.

Katanya, sedangkan negara-negara lain seperti China dan Belanda berani menunjukkan sikap mereka dalam isu MH370 berbanding Malaysia sendiri.

Katanya lagi, dasar luar di era Najib ini tidak menunjukkan jati diri Malaysia sendiri tetapi bergantung kepada siapa yang banyak memberi kelebihan terhadap kepentingan politik beliau.

“Apabila kita mengharapkan China melabur di Malaysia, maka kita banyak beri ruang dan tidak berani kritik China dan sebagainya,” katanya lagi.