Categories
NASIONAL

Tiga faktor punca kegagalan pembentukan bangsa Malaysia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 SEPT: Politik, ekonomi dan media sosial menjadi antara punca kegagalan pembentukan bangsa Malaysia sehingga kini.

Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik berkata, faktor itu turut disokong dengan slogan politik bersifat retorik tanpa pengisian jelas.

“Slogan politik datang dan pergi. Apa yang kita kesalkan adalah retorik slogan yang kosong.

“Hakikatnya kita memerlukan tindakan dalam lapangan kehidupan berbanding slogan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pembentangan Sidang Meja Bulat dan Pelancaran Penubuhan Pusat Kajian Pembinaan Bangsa di Institut Darul Ehsan (IDE).
MALAYSIAMenurutnya, sikap dua muka ahli politik disamping kerapuhan sokongan terhadap pemerintah serta kedudukan ekonomi terutama golongan kelas pertengahan juga mendorong kepada kegagalan pembentukan bangsa Malaysia.

Keadaan itu dikeruhkan dengan pendemokrasian laman sosial yang tidak terkawal apabila terdapat segelintir individu yang melemparkan kata-kata tanpa batasan.

Maszlee turut menggariskan tujuh tonggak baru yang boleh diterapkan bagi merealisasikan pembentukan bangsa Malaysia.

Tonggak yang dimaksudkan adalah kasih sayang dan rahmat, kemanusiaan sejagat, persamaan tanpa mengira warna kulit serta agama.

Selain itu, perlunya sikap saling menghormati, kebertanggungjawaban, peluang yang saksama serta menghargai nilai sejagat.

“Kita memerlukan naratif baru untuk semua kaum, bangsa dan agama demi membina bangsa Malaysia,” katanya.

=EZY=