Categories
SUKANKINI

TM Piala Malaysia: PKNS FC dikecewakan Kuala Lumpur 2-0

OLEH AFIX REDZUAN

MELAKA, 10 SEPT: PKNS FC mengakhiri saingan TM Piala Malaysia musim ini dengan kekecewaan apabila tewas 2-0 kepada Kuala Lumpur dalam aksi terakhir Kumpulan B.

Walaupun kedua-dua pasukan yang sudah tersingkir lebih awal tetapi berjaya mempamerkan aksi memberangsangkan bagi memburu kemenangan tunggal aksi peringkat kumpulan di Stadium Hang Jebat.

Percubaan tepat pertama hadir pada minit ke-14 menerusi rembatan luar kotak penalti penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula yang berjaya di kawal penjaga gol PKNS FC Taufiq Ar Rasyid Johar.

Peluang terbaik PKNS FC tiba pada minit ke-29 menerusi Shahrul Azhar Ture tetapi rembatan kencangnya berjaya ditepis penjaga gol Kuala Lumpur, Kamarul Effandi Abdul Rahim.

PKNS FC (NEW)Kedua-dua pasukan cuba merencana serangan ke kubu lawan tetapi berjaya dipatahkan menerusi kekebalan benteng pertahanan.

Menuju minit akhir babak pertama, Guilherme sekali lagi melakukan percubaan ke kiri gawang PKNS FC tetapi Taufiq terlebih dahulu merebahkan badan untuk menolak keluar bola.

Bersambung babak kedua, Guilherme akhirnya berjaya membolosi gawang PKNS pada minit ke-46 bagi kedudukan 1-0.

Berpunca daripada situasi kelam kabut di hadapan gawang, Guilherme yang tidak dikawal dengan mudah menampan masuk bola daripada rakan sepasukan untuk memastikan Kuala Lumpur mendahului perlawanan.

Selang dua minit kemudian, Bobby Gonzales hampir menyamakan kedudukan tetapi percubannya berjaya diselamatkan pertahanan Kuala Lumpur di atas garisan gol.

Masuk minit ke-62, percubaan Bobby Gonzales berjaya dinafikan Kamarul Effandi disaat PKNS FC terus mahu memburu gol penyamaan.

K Gurusamy turut hampa pada minit ke-64 apabila percubaanya tidak menepati sasaran.

Menuju 10 minit terakhir permainan, Guilherme sekali lagi mengecewakan PKNS FC apabila berjaya menanduk masuk bola hantaran Nicolas Alejandro bagi mengukuhkan kedudukan 2-0 pada minit ke-82.

Mohd Safee Mohd Sali hampir menghadiahkan gol saguhati buat PKNS FC pada penghujung permainan tetapi tandukkannya berjaya ditepis keluar penjaga gol Kuala Lumpur.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan B, Perak bangkit pada babak kedua untuk menewaskan Felda United 2-1.

Keputusan itu menyaksikan Perak muncul selaku juara kumpulan dengan 16 mata diikuti Felda United yang turut mara ke pusingan suku akhir.

=EZY=