Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penganalisis: Kekuatan pelbagai sektor sumbang KDNK tertinggi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 SEPT: Selain sekali lagi muncul sebagai penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional bagi 2016, Selangor juga merupakan penyumbang terbesar KDNK negara bagi sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, keadaan ini membuktikan kekuatan ekonomi Selangor tidak bergantung kepada satu sektor semata-mata tetapi meliputi pelbagai sektor termasuk sektor pertanian.

“Walaupun Selangor dikenali sebagai negeri perindustrian tetapi Kerajaan Negeri hari ini berjaya memperkukuhkan semua sektor ekonominya di mana Selangor tidak bergantung kepada satu enjin ekonomi sahaja tetapi lebih daripada dua enjin termasuklah sektor pertaniannya turut diupayakan.

EKONOMI SELANGOR“Kalau kita lihat sektor perindustrian, perkhidmatan, pembinaan menunjukkan Selangor merupakan penyumbang terbesar kepada KDNK negara bagi semua sektor ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, walaupun Selangor bukan merupakan penyumbang terbesar bagi sektor pertanian tetapi masih dianggap sebagai salah satu pengeluar pertanian terbesar disebabkan kepelbagaian bidang pertaniannya seperti pengeluaran padi dan penternakan.

https://selangorkini.my/2017/09/selangor-sumbang-kdnk-2016-terbesar-negara-22-7/

Prestasi KDNK dinilaikan melalui lima sektor utama iaitu perkhidmatan, pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pertanian.

Dalam laporan KDNK yang dikeluarkan Jabatan Statistik Negara pada 6 September lalu, Selangor menyumbang sebanyak 22.7 peratus KDNK nasional diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 15.3 peratus dan Johor 9.4 peratus.

Manakala berdasarkan pecahan sektor pula, Selangor juga merupakan penyumbang KDNK tertinggi nasional bagi sektor pembuatan dengan mencatatkan sebanyak 28.9 peratus, pembinaan 29 peratus dan perkhidmatan 25.2 peratus.

=EZY=