Categories
NASIONAL

Tun M: Saya tidak berkuasa dalam urusan BNM

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 18 SEPT: Bank Negara Malaysia (BNM) tidak melaporkan kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung aktiviti urusniaga forex yang membawa kerugian mencecah RM30 ringgit pada penghunjung 1980-an hingga 1990-an.

Mahathir berkata, undang-undang turut tidak membenarkan beliau mencampuri urusan pentadbiran, dasar dan aktiviti dagangan yang dijalankan BNM tetapi sebaliknya BNM mempunyai lembaga pengarah berkuasa untuk membuat keputusan.

“Gabenor mempunyai tugas melaporkan kegiatan BNM dari semasa ke semasa kepada lembaga pengarahnya dan saya sebagai Perdana Menteri, tidak pernah terlibat dalam pentadbiran BNM.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian kira-kira RM30 bilion di Istana Kehakiman Putrajaya di sini, hari ini.

RCI dianggotai enam orang itu dipengerusikan Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Jelasnya, beliau hanya dimaklumkan secara umum oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Clifford Herbert bahawa ada masa BNM mengalami kerugian dan ada masa memperolehi keuntungan daripada urusniaga forex yang dijalankan BNM.

Jelasnya, keadaan itu bukanlah sesuatu yang menghairankan ekoran menjadi kelaziman perdagangan forex sememangnya tidak menjanjikan keuntungan setiap masa.

Bagaimanapun katanya, Gabenor BNM, Tan Sri Jaffar Hussein memaklukan kepada beliau bahawa dagangan forex pada masa itu berjaya mengimbangi rizab negara.

Kata Mahathir lagi, beliau juga yakin pihak BNM tidak pernah menyatakan kerugian sehingga mencecah RM30 bilion kepadanya.

Sementara itu, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin turut memberitahu RCI bahawa BNM beroperasi secara bebas di bawah Lembaga Pengarah BNM.