Categories
GLOBAL

WHO: Taun ancam 435,000 pelarian Rohingya di Cox’s Bazar

GLOBAL 26 SEPT: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran terhadap peningkatan risiko penularan wabak taun sekitar kem sementara pelarian Rohingya di Bangladesh, yang kini sesak dengan lebih 435,000 penghuni.

Ini kerana dalam tempoh sebulan, pelarian didapati berselerak membanjiri 68 kem dan penempatan di sepanjang sempadan negara itu, hidup tanpa bekalan air minuman atau kemudahan kebersihan, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Semua kem terbabit turut berdepan kekurangan makanan dan perubatan, memandangkan ia berubah menjadi antara penempatan pelarian terbesar dunia dalam tempoh yang singkat.

“Risiko penyakit bawaan air tinggi, terutamanya wabak taun dan semua pihak amat bimbang.

“Walaupun usaha campur tangan bantuan ditingkatkan, ia masih tidak mampu menangani situasi kritikal dan mencabar ini,” kata WHO menerusi satu kenyataan.

Rohingya refugees get off a boat after crossing the Bangladesh-Myanmar border through the Bay of Bengal, in Shah Porir Dwip, Bangladesh September 11, 2017. REUTERS/Danish Siddiqui

Kehadiran sejumlah besar pelarian baharu didapati melampaui kapasiti kem di sekitar Cox’s Bazar, yang sebelum ini menempatkan sekurang-kurangnya 300,000 penghuni yang melarikan diri daripada kekejaman kerajaan Myanmar di negeri Rakhine.

WHO berkata, pusat perubatan bergerak sudah disediakan, sementara pihak berkuasa kesihatan Bangladesh memaklumkan mereka sudah merawat 4,500 pelarian Rohingya akibat cirit birit dan memberikan vaksin campak dan polio kepada 80,000 kanak-kanak.

“Kami melakukan yang terbaik berdepan cabaran ini, namun kami bimbang,” kata Timbalan Ketua Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Bangladesh, Enayet Hossain.

=EZY=