Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kementerian kesihatan lulus vaksin Covaxin

KUALA LUMPUR, 10 FEB:  Vaksin COVID-19 COVAXIN diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam kenyataannya, beliau berkata kelulusan bersyarat itu dipersetujui melalui Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-369, yang telah bersidang hari ini.

“Kelulusan itu masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau, serta dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi vaksin tersebut kekal positif,” katanya.

Beliau berkata, COVAXIN yang didaftar di bawah Averroes Pharmaceuticals Sdn Bhd dan dikilangkan oleh Bharat Biotech International Limited, India itu digunakan untuk imunisasi aktif bagi mencegah COVID-19 yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2 dalam kalangan individu berumur 18 tahun dan ke atas.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan Dr Noor Hisham memaklumkan PBKD juga turut bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat kepada produk dolutegravir (DTG) versi generik, iaitu TEGRAD (Dolutegravir FilmCoated Tablets 50mg).

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas persidangan kali ke-369 tersebut dan produk berkenaan dikilangkan oleh Hetero Labs Limited, India dan pemegang pendaftaran di Malaysia, Camber Laboratories Sdn. Bhd.

Katanya penilaian NPRA mendapati TEGRAD sesuai digunakan secara kombinasi dengan produk anti-retroviral lain bagi rawatan Human Immunodeficiency Virus (HIV) dalam kalangan individu berumur 12 tahun dan ke atas.

“TEGRAD adalah produk generik DTG pertama yang didaftarkan di negara ini dan merupakan manfaat daripada perjanjian Voluntary Licensing (VL) di antara Medicines Patent Pool (MPP) dan pemilik paten DTG, ViiV Healthcare yang dimeterai pada bulan November 2020.

“Hetero Labs Limited, India merupakan salah sebuah pengilang yang diberi lesen oleh MPP di bawah perjanjian VL ini, untuk menghasilkan produk generik DTG bagi negara-negara tersebut, termasuk Malaysia,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata usaha menjadikan negara ini mendapat akses di bawah VL dimulakan KKM bermula 2014.

“KKM mula bekerjasama dengan MPP, agar rundingan dengan pemegang paten melibatkan akses ke atas ubat generik DTG bagi merawat pesakit HIV dewasa tahun berikutnya,” katanya.

Menurutnya, ini selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), DTG sebagai rawatan utama bagi pesakit HIV.

Katanya, kelulusan produk akan memberikan akses lebih luas kepada ubat tersebut dengan kos yang lebih berpatutan, tidak kira di fasiliti kesihatan awam mahupun swasta.

“KKM melalui NPRA akan terus memantau dan menilai data-data terkini dari semasa ke semasa berkenaan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk DTG ini, bagi memastikan perbandingan manfaat-risikonya kekal positif.

“KKM juga akan terus komited dengan usaha-usaha untuk mempertingkatkan akses kepada ubat-ubatan yang berkualiti, selamat dan berkesan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

WHO beri amaran siap sedia ancaman penyakit serentak Covid-19

GENEVA, 13 JAN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu memberi amaran dan menggesa masyarakat bersiap sedia menghadapi ancaman serentak wabak Covid-19 dan penyakit pernafasan lain menjelang musim bunga nanti.

Menurut Xinhua, Dr Maria van Kerkhove daripada Program Kecemasan Kesihatan WHO, berkata pada sesi taklimat media bahawa keadaan itu berlaku apabila pergaulan antara masyarakat meningkat, serta patogen sistem pernafasan lain seperti influenza merebak ketika musim bunga.

Lebih 15 juta kes baharu jangkitan Covid-19 di seluruh dunia telah dilaporkan pada minggu lepas, bilangan terbanyak kes dilaporkan dalam tempoh seminggu.

Peningkatan kes didorong oleh “varian Omicron yang pantas menggantikan Delta di hampir semua negara,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Sementara itu, jumlah kematian mingguan kekal stabil sejak Oktober tahun lalu, dengan purata 48,000.

Meskipun bilangan pesakit dimasukkan ke hospital meningkat di kebanyakan negara, ia tidak berada pada tahap seperti gelombang sebelum ini.

Kemungkinan varian Omicron tidak terlalu serius serta imuniti daripada vaksinasi yang semakin meluas atau jangkitan sebelum itu,” katanya.

“Mari kita jelaskan: Omicron menyebabkan simptom kurang serius berbanding Delta, tetapi kekal sebagai virus berbahaya, terutamanya bagi mereka yang tidak divaksinasi,” kata ketua WHO itu.

Organisasi itu sentiasa memberi amaran bahawa jumlah kes yang tinggi bakal membebankan sistem kesihatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin sedia ada berkesan lawan varian baharu Covid-19

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Kemunculan varian baharu yang lebih agresif kebelakangan ini mencetuskan persoalan dalam kalangan masyarakat tentang keberkesanan vaksin Covid-19 sedia ada.

Isu itu turut menjadi perhatian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mendesak syarikat farmaseutikal agar segera memastikan vaksin keluaran mereka kekal relevan terhadap apa juga varian yang dikesan.

Di negara ini, isu keberkesanan vaksin juga hangat diperkatakan, khususnya apabila kerajaan menghentikan pemberian vaksin Covid-19 keluaran Sinovac Biotech Ltd (Sinovac), syarikat farmaseutikal dari China.

Mengulas perkara itu kepada Bernama, pensyarah kanan di Kluster Kesihatan Persekitaran, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Nurul Yuziana Mohd Yusof berkata vaksin sedia ada, baik keluaran Sinovac, Pfizer Inc atau AstraZeneca Plc, terbukti berupaya menghalang jangkitan yang teruk dalam kalangan individu positif Covid-19.

Katanya kajian menunjukkan vaksin berkenaan dapat melindungi individu daripada jangkitan SARS-CoV-2, iaitu virus penyebab Covid-19.

Mengenai perbezaan antara vaksin keluaran Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, beliau berkata vaksin Pfizer dan AstraZeneca menghasilkan antibodi khusus bagi spike protein (protein pepaku) virus, sementara Sinovac pula mewujudkan antibodi meluas terhadap keseluruhan struktur virus termasuk protein pepaku.

“Spike protein berperanan seolah-olah pintu pada sel untuk kemasukan virus Covid-19, dan sebarang antibodi yang menyasarkan atau ‘melekat’ pada spike protein ini akan menghalang kemasukan virus (Covid-19) ke dalam sel tubuh kita dan seterusnya meneutralkan virus yang mana dalam keadaan ini, virus tidak boleh masuk ke dalam sel dan berganda menjadi banyak,’’ jelas beliau.

Menyentuh keberkesanan ketiga-tiga vaksin tersebut terhadap varian baharu Covid-19, Dr Nurul Yuziana berkata beberapa kajian yang dibuat menunjukkan dua dos vaksin Pfizer dan AstraZeneca mempunyai keberkesanan lebih 50 peratus dalam melawan varian baharu.

“Dalam kajian yang diterbitkan New England Journal of Medicine baru-baru ini, Pfizer mempunyai keberkesanan hingga 93.7 peratus terhadap varian Alfa dan 88 peratus bagi Delta, manakala untuk AstraZeneca ialah 74.5 peratus (Alfa) dan 67 peratus (Delta).

“Bagi Sinovac pula, setakat ini belum ada lagi data saintifik bagi melihat keberkesanannya terhadap varian baharu… berkemungkinan besar masih dalam kajian atau analisis,’’ katanya.

Beliau turut menegaskan keberkesanan suatu vaksin hanya dapat dipastikan menerusi analisis yang komprehensif merangkumi pelbagai data termasuk status vaksinasi bagi sesebuah populasi.

“Selain itu, kita juga perlu melakukan ujian makmal untuk kenal pasti jenis varian dengan lebih terperinci berbanding kaedah penyaringan Covid-19 sedia ada seperti kaedah Real-Time Polymerase Chain Reaction secara multipleks dan analisis penjujukan DNA untuk menganalisis maklumat perubahan genetik atau mutasi virus,’’ katanya.

Pada 23 Julai lepas, Sinovac menegaskan vaksin CoronaVac keluarannya berupaya melawan varian Delta iaitu varian virus Covid-19 paling agresif dengan kadar transmisi yang sangat pantas setakat ini.

Jurucakap syarikat Liu Peicheng dilaporkan berkata meskipun belum ada lagi data tersedia mengenai kesan perlindungan vaksin itu, kajian membuktikan keberkesanannya di beberapa negara seperti Brazil, Indonesia, Chile dan Turki yang menggunakan CoronaVac secara meluas.

CoronaVac Sinovac merupakan vaksin tidak aktif dan antara vaksin Covid-19 paling banyak digunakan di dunia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong bangga Dr Adeeba dilantik jadi anggota Majlis Sains WHO

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada pakar penyakit berjangkit negara Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman atas pelantikan menjadi anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas pelantikan berkenaan kerana majlis tersebut merupakan kumpulan penasihat peringkat tertinggi yang dianggotai sarjana-sarjana terkemuka dunia, sekali gus menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa.

Al-Sultan Abdullah menyifatkan pelantikan Dr Adeeba bukan sahaja satu pengiktirafan kepada beliau sebagai individu yang berprestasi tinggi, malah kepada Malaysia.

“Ia juga sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara menerusi Facebook hari ini.

Seri Paduka Baginda juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Dr Adeeba serta mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan terus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Al-Sultan Abdullah turut berharap kejayaan itu akan menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.

Majlis Sains WHO bertindak sebagai suara kepemimpinan saintifik dalam memberi saranan dan nasihat mengenai kemajuan sains dan teknologi yang secara langsung dapat memberi kesan kepada kesihatan global.

Anggota majlis itu terdiri daripada pakar terkemuka di peringkat antarabangsa dengan rekod pencapaian dalam bidang masing-masing serta mempunyai kefahaman yang diiktiraf mengenai kesihatan global.

Berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perubatan, Dr Adeeba juga memegang jawatan sebagai pengerusi Yayasan AIDS Malaysia dan ahli eksekutif Majlis AIDS Malaysia.

Beliau aktif di barisan hadapan dengan menjadi orang penting dan penggerak kempen kesedaran penyakit HIV dan AIDS, selain mengasaskan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan AIDS yang menjalankan kajian pelbagai disiplin tentang HIV dari segi klinikal, kesihatan awam dan dasar berkaitan.

Pada 2013 dan 2014, beliau telah diberi penghormatan dengan ditampilkan dalam jurnal The Lancet dan Science.

Tahun lepas, Dr Adeeba mencipta sejarah menjadi orang Asia pertama dilantik sebagai Presiden Persatuan AIDS Antarabangsa.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

WHO syor terus guna vaksin AstraZeneca

GENEVA, 18 MAC: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu berkata pihaknya akan terus mengesyorkan penggunaan vaksin Covid-19 AstraZeneca kerana manfaatnya melebihi risiko, lapor Sputnik.

“Pada masa ini, WHO menganggap manfaat vaksin AstraZeneca melebihi risiko dan mengesyorkan agar vaksinasi diteruskan,” kata kenyataan itu.

WHO sentiasa berhubung dengan Agensi Ubat-Ubatan Eropah dan pihak berkuasa di seluruh dunia untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai keselamatan ubat-ubatan.

Jawatankuasa Penasihat Global WHO mengenai Keselamatan Vaksin dijangka mengumumkan keputusannya mengenai keselamatan AstraZeneca pada Khamis.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

WHO kaji semula keselamatan vaksin Covid-19 AstraZeneca

GENEVA, 16 MAC: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih menjalankan kajian semula terhadap keselamatan vaksin Covid-19 AstraZeneca/Oxford apabila Perancis, Itali, Sepanyol dan Jerman menyertai negara lain menangguhkan penggunaan vaksin ini.

Beberapa negara bertindak menangguhkan penggunaan vaksin itu berikutan laporan segelintir penerima vaksin itu mengalami darah beku dan meninggal dunia, lapor Xinhua.

“Sejak Jumaat, beberapa negara telah menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca sebagai langkah pencegahan setelah laporan mengenai darah beku oleh penerima vaksin daripada dua kumpulan yang dihasilkan di Eropah,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Isnin.

Katanya kajian itu tidak semestinya berkaitan dengan vaksinasi, tetapi merupakan praktik rutin dan ini menunjukkan bahawa sistem pengawasan berfungsi dan wujudnya kawalan yang efektif.

Jawatankuasa Penasihat Global WHO mengenai Keselamatan Vaksin telah mengkaji data yang ada dan sedang berhubung rapat dengan Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) dan akan bertemu pada Selasa.

Pada Isnin, Perancis, Jerman dan Sepanyol memutuskan untuk menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca / Oxford Covid-19 sebagai “langkah pencegahan” sementara menunggu penilaian oleh EMA, yang membenarkan penggunaannya di Kesatuan Eropah (EU) pada 29 Januari.

Sebelum itu, Austria, Itali, Bulgaria, Denmark, Romania, Estonia, Lithuania, Luxembourg, Latvia dan negara-negara bukan EU Norway dan Iceland juga menangguhkan sepenuhnya atau sebahagian penggunaan vaksin AstraZeneca.

Tedros berkata ancaman terbesar dihadapi kebanyakan negara sekarang ialah kekurangan akses kepada vaksin kerana beberapa negara terkaya di dunia membeli secara berlebihan manakala banyak negara lain langsung tidak memperolehnya.

WHO meminta semua negara bersolidariti memastikan vaksinasi bermula dalam 100 hari pertama tahun ini.

“Tidak ada negara yang akan bebas pandemik walaupun setelah divaksinasi melainkan kita semua melakukannya bersama-sama,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

WHO: Pandemik Covid-19 dijangka berakhir awal 2022

COPENHAGEN, 22 FEB: Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Eropah Hans Kluge percaya pandemik Covid-19 akan berakhir pada awal 2022, lapor Agensi Berita Anadolu.

Covid-19 masih merebak pada 2021, namun ia akan lebih terkawal berbanding tahun lalu, katanya kepada saluran penyiaran Denmark, DR pada Ahad.

Menyifatkan situasi terburuk kini berakhir, Kluge berkata terdapat lebih banyak maklumat mengenai virus ini dibandingkan dengan 2020, ketika peringkat awal penularan.

Namun, turut mengingatkan tidak ada sesiapapun yang dapat mengetahui keadaan pandemik Covid-19 pada masa depan.

“Virus ini akan terus wujud, tapi saya berpendapat ia tidak lagi memerlukan sekatan. Ini adalah mesej yang optimis,” katanya.

Kluge berkata mutasi adalah perkara biasa dan virus ini sedang menyesuaikan diri dengan individu yang dijangkiti, yang menjadi kebimbangan ialah penularan mutasi yang pantas.

Menurutnya, WHO memantau rapat keberkesanan vaksin Covid-19 yang dibangunkan untuk melawan jenis virus yang pantas merebak itu, katanya jika perlu vaksin dapat diubah berdasarkan mutasi baharu dan tidak perlu membangunkannya dari mula.

Beliau berkata mutasi tidak akan menjadikan virus itu tidak terkawal namun ia akan memberi lebih tekanan kepada negara yang sistem penjagaan kesihatannya sudah di tahap sukar.

Masalah terbesar akan muncul apabila mereka yang telah divaksin berada di kelompok sama dengan golongan tidak divaksin, kerana itu faktor penjadualan memainkan peranan sangat penting, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat calon vaksin Covid-19 dalam proses lulus NPRA

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Empat calon vaksin Covid-19 sedang dalam proses untuk kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), menurut Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Buku panduan itu menyebut setakat ini, hanya vaksin Pfizer-BioNTech telah memperoleh kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan NPRA pada 8 Januari 2021.

“Sehingga Februari 2021, Malaysia telah mendapat akses bekalan vaksin Covid-19 sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti COVAX dan pembelian awal daripada lima pengeluar vaksin Covid-19,” menurut buku itu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Mengenai aspek keberkesanan atau seberapa baik vaksin berfungsi, ia dilihat melalui keupayaannya untuk melindungi individu daripada simptom penyakit Covid-19 melalui vaksinasi.

Buku panduan itu menyebut peratusan keberkesanan berbeza mengikut cara kajian klinikal dijalankan, jenis vaksin, risiko penyakit pada sukarelawan dan pelbagai faktor lain manakala semua vaksin yang diluluskan oleh NPRA adalah selamat dan berkesan untuk digunakan di Malaysia.

Buat masa ini, Malaysia tidak mempunyai kapasiti serta fasiliti lengkap bagi pembuatan vaksin, dan untuk itu negara perlu mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh negara lain.

Buku tersebut turut menerangkan bahawa dalam rundingan pembelian vaksin Covid-19, kerajaan memasukkan elemen nilai tambah bagi membolehkan Malaysia membangunkan kapasiti pembangunan vaksin dalam negara.

Memandangkan Malaysia dan dunia berisiko terdedah kepada pandemik lain pada masa hadapan, kerajaan melalui Majlis Sains Negara dalam mesyuarat pada Julai 2020 bersetuju agar Roadmap Pembangunan Vaksin Negara dibentuk sebagai pelan jangka masa panjang untuk negara mengeluarkan vaksin buatan tempatan pada masa akan datang.

Seperti produk farmaseutikal lain, vaksin merupakan produk yang sentiasa dipantau dalam aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanannya.

“Setakat ini, vaksin Covid-19 untuk Malaysia diberikan kelulusan bersyarat berdasarkan pematuhan piawaian ketat melalui penilaian data-data saintifik, klinikal dan teknikal,” katanya.

Setiap kelompok vaksin yang akan digunakan di Malaysia dipantau dari aspek kepatuhan mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan selepas vaksin mula diberikan kepada masyarakat, pemantauan aduan kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Vaksinasi Covid-19 adalah secara sukarela dan akan diberikan secara percuma kepada semua penduduk Malaysia (warganegara dan bukan warganegara) dengan had umur 18 tahun ke atas dan ia akan diteliti dari semasa ke semasa.

Pendekatan kerajaan adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022 untuk mengurangkan penularan virus Covid-19.

Terdapat tiga strategi pemberian vaksin dan kumpulan sasar iaitu pertama, diberikan kepada petugas barisan hadapan terutamanya petugas kesihatan bagi memastikan kumpulan itu terlindung daripada jangkitan Covid-19, dan bertujuan memastikan sistem kesihatan dan keselamatan pada tahap optimum.

“Strategi kedua adalah bagi mengurangkan beban penyakit kepada kumpulan berisiko tinggi agar terlindung daripada jangkitan Covid-19 dan ini sekali gus dapat mengurangkan beban kepada sistem kesihatan awam Malaysia,” menurut buku itu.

Bagi strategi ketiga pula adalah untuk kawalan wabak dan pemberian vaksin akan dijalankan sepanjang fasa dua dan tiga di kawasan kluster berisiko tinggi melalui penilaian risiko bagi mengawal penularan penyakit.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

WHO jangka semua negara dapat bekalan vaksin Covid-19 pada Februari

GENEVA, 12 JAN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin menyeru komitmen semua pihak untuk tempoh 100 hari akan datang bagi memastikan vaksinasi Covid-19 terhadap pekerja kesihatan dan golongan berisiko tinggi di semua negara dapat dimulakan.

Pada satu sidang webinar mingguan, Ketua Pengarah WHO, Tedros Ghebreyesus berkata setahun lalu, kematian pertama Covid-19 dilaporkan, lapor Agensi Anadolu.

“Setahun kemudian, terdapat hampir dua juta kematian akibat Covid-19, dan sementara berharap vaksin yang selamat dan berkesan dilancarkan, kami mahu ia disegerakan dan vaksin akan diperuntukkan secara adil pada beberapa minggu akan datang.

“Saya meminta komitmen bersama agar dalam 100 hari ke depan, vaksinasi untuk pekerja kesihatan dan mereka yang berisiko tinggi di semua negara dapat diagihkan,” katanya.

Penasihat kanan WHO, Dr Bruce Aylward, berkata: “Lebih 40 negara memulakan vaksinasi Covid-19. Namun, setakat ini hampir kesemuanya adalah di negara berpendapatan tinggi atau berpendapatan sederhana.

“Kita harus melihat vaksin digunakan di negara berpendapatan rendah dan menengah.”

“Lebih 40 negara sekarang mulai melakukan vaksinasi Covid-19 dengan menggunakan lima vaksin berbeza.

Menurutnya WHO sedang berusaha mempercepat pelaksanaan vaksin melalui kemudahan COVAX bagi mendapatkannya untuk negara Advance Market Commitment (AMC) berpendapatan rendah dan menengah, 92 negara di Afrika, Amerika dan Asia.

Aylward berkata WHO berharap ia dapat dilakukan pada Februari namun memerlukan kerjasama pengeluar vaksin untuk mengutamakannya.

Beliau menambah terdapat juga keperluan untuk kerjasama dan bantuan kewangan.

“Kami memerlukan kerjasama pembekal utama untuk memastikan kami memiliki data yang diperlukan dan vaksin ini dapat memenuhi semua kriteria keberkesanan, keselamatan dan kualiti.”

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Covid-19 bayangi rencah kehidupan dunia sepanjang 2020

Oleh M. Saraswathi

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Memandangkan banyak berita yang ditulis memaparkan mengenai kisah malang tahun duka 2020, mesej-mesej positif yang disampaikan figura penting Krismas Santa Klaus di media sosial telah menjadikan suasana yang suram lebih optimis dan mengujakan.

Santa merujuk perjuangan global untuk membendung penularan pandemik Covid-19 ketika ini sebagai ‘satu situasi yang sangat istimewa’.

Menerusi video berdurasi 43 saat dari Rovaniemi, Finland, Santa Klaus menyampaikan mesej kepada kanak-kanak di seluruh dunia yang bimbang ketiadaan sambutan Krismas, dengan memberi jaminan kepada mereka bahawa persiapan di Arctic Circle di Lapland berjalan sangat lancar dan semuanya berkeadaan baik dan mematuhi peraturan penjarakan fizikal. Seperti yang diketahui ramai, Rovaniemi adalah kampung halaman ‘rasmi’ bagi Santa Klaus.

Sememangnya 2020 adalah tahun yang istimewa dari pelbagai segi. Pertamanya, ia telah menyedarkan kita tentang kepentingan penjagaan kebersihan diri dan sanitasi.

Amat malang sekali dalam laporannya yang bertajuk ‘Hand Hygiene for All’, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata tiga bilion orang – 40 peratus daripada penduduk dunia – di rumah mereka tidak mempunyai tempat untuk membasuh tangan dengan air dan sabun.

Tiga suku daripada mereka ini tinggal di negara-negara paling miskin di dunia dan merupakan antara golongan yang paling rentan: kanak-kanak dan keluarga yang tinggal di kawasan penerokaan haram, migran dan kem pelarian atau di kawasan yang sentiasa berkonflik.

Ini menjadikan kira-kira 1 bilion orang berdepan risiko dijangkiti Covid-19, hanya kerana mereka kekurangan atau tiada kemudahan asas seperti tempat untuk membasuh tangan.

Justeru, pandemik Covid-19 adalah peringatan yang jelas kepada kita bahawa satu daripada cara paling efektif untuk menghentikan penularan virus adalah amat mudah sekali iaitu kebersihan tangan. Ia bukan sahaja melindungi kita daripada dijangkiti penyakit tetapi juga mencegah penularannya kepada orang lain, demikian dedah laporan WHO tersebut.

Di Malaysia, pelaburan dalam sektor sanitasi bermula sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957. Walaupun masih ada cabaran yang perlu ditangani, seperti kekerapan gangguan bekalan air tidak berjadual dan pencemaran sungai, majoriti 32 juta penduduk di negara ini mempunyai akses kepada keperluan sanitasi asas.

Satu kajian pada tahun 2000 oleh WHO dan Pogram Pemantauan Bersama bagi Bekalan Air, Sanitasi dan Kebersihan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) mendedahkan bahawa 98 peratus daripada penduduk bandar dan 94 peratus daripada penduduk luar bandar mempunyai akses kepada sanitasi asas.

Keduanya, 2020 mengajar kita untuk lebih bersyukur.

Semasa komentar ini ditulis, kes Covid-19 di Malaysia telah melepasi angka 100,000 ribu orang dengan 18,773 kes aktif dan meragut 446 nyawa.

Antara kisah yang paling tragis adalah satu kes sekeluarga di Sarawak yang kehilangan tiga anggota keluarga akibat Covid-19 pada April dan kematian mangsa paling muda di Malaysia seorang budak perempuan berusia setahun di Sabah.

Sekatan pergerakan yang dilaksanakan bagi membendung penularan virus itu juga telah menjejaskan mata pencarian beribu-ribu orang di Malaysia.

Seorang pekerja asing diperiksa suhu badan ketika beratur untuk pemeriksaan dengan pihak berkuasa kesihatan di pasar baharu susulan penularan Covid-19 di Bangkok, Thailand pada 22 Disember 2020. Foto REUTERS

Kadar pengangguran melonjak setinggi 5.3 peratus pada Mei. Walaupun kadar itu menyusut kemudiannya selepas aktiviti ekonomi dibuka secara berperingkat dan pelbagai langkah rangsangan ekonomi dan inisiatif diperkenalkan kerajaan, tidak dinafikan bahawa sesetengah perniagaan dan pekerjaan masih terdedah kepada kesan daripadanya, terutamanya sektor penerbangan dan pelancongan.

Sehingga dan melainkan sempadan dibuka semula dan sekatan perjalanan ditarik balik, sektor ini berdepan cabaran yang sukar untuk pulih kembali. Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), syarikat penerbangan dijangka mengalami kerugian US$84.3 billion (US$1=RM4.07) tahun ini, menjadikannya tahun paling buruk dalam sejarah penerbangan dengan trafik udara dijangka hanya pulih sepenuhnya sehingga 2024.

Oleh itu, sekiranya anda berjaya mengharungi 2020 tanpa ada ahli keluarga ataupun rakan-rakan dijangkiti virus itu, kehilangan nyawa atau pekerjaan atau malahan terpisah disebabkan penutupan sempadan – anda seharusnya bersyukur.

Ketiga, 2020 jelas memperkukuhkan lagi hakikat bahawa rakyat Malaysia sememangnya berhati mulia.

Bagi rakyat Malaysia, tidak kira sama ada ia kedai mi bekas juruterbang, nasi lemak budak tanpa lengan, atau pelajar yang bergelut melawan kanser untuk meneruskan kehidupan ataupun warga emas yang membuat kerja penghantaran makanan – jika mereka memerlukan bantuan, rakyat Malaysia akan sentiasa membantu.

Suatu yang mengujakan apabila membaca pelbagai kisah segenap lapisan masyarakat yang memberi sumbangan bukan sahaja dalam bentuk kewangan tetapi juga dari segi perlindungan dan sokongan emosi.

Pelbagai kumpulan sokongan masyarakat juga muncul ibarat cendawan sepanjang tahun ini. Antara yang terawal ditubuhkan adalah pada permulaan perintah kawalan pada Mac lepas dengan kira-kira 500 ahli dan membuka laman “caremongering” di platform media sosial Facebook, bagi membantu golongan rentan.

Ia menyeru golongan muda untuk membantu dengan memeriksa keadaan jiran-jiran mereka, terutamanya golongan warga emas, membeli barangan keperluan untuk mereka serta mendapatkan ubatan daripada farmasi semasa perintah kawalan pergerakan selama tujuh minggu itu.

Walaupun selepas perintah kawalan pergerakan ditarik balik, kumpulan itu masih meneruskan aktiviti mereka memberi bantuan kepada masyarakat yang memerlukan. Perilaku ini mengukuhkan lagi kepercayaan terhadap kemanusiaan dan rakyat Malaysia rata-ratanya sememangnya mempunyai hati emas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM timbang tempoh 10 hari individu jalani kuarantin

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian selama 10 hari akan dipertimbang bagi mereka yang sedang menjalani kuarantin pada masa ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan ujian saringan ke atas mereka pada hari kelapan dan kesembilan kuaratin.

“Mereka yang sedang menjalani kuarantin akan juga dipertimbangkan untuk kita kuarantin selama 10 hari sahaja. Kita juga akan menjalankan ujian (saringan) pada hari kelapan dan kesembilan. (Sekiranya) ujian negatif, baru (kita) lepas (mereka) pada hari ke-10,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pengurangan tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian bagi pengembara yang pulang dari luar negara serta tempoh pengurusan kontak rapat di Malaysia daripada 14 hari kepada 10 hari yang berkuat kuasa hari ini, turut terpakai bagi mereka yang sedang menjalani tempoh kuarantin.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata nilai kadar kebolehjangkitan atau r-naught bagi tempoh 12 September sehingga 15 Disember berjaya diturunkan kepada nilai 1.1, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kita mula dengan r-naught 2.2. Kalau tidak ada PKPB, (seramai) empat juta penduduk akan dijangkiti. Tetapi PKPB berjaya turunkan kadar kebolehjangkitan kepada nilai 1.1,” katanya.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata definisi ‘kontak rapat’ yang digunakan ketika ini adalah berdasarkan kepada definisi yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bagaimanapun menurutnya Kementerian Kesihatan akan mengkaji definisi itu dari semasa ke semasa.

“Kontak rapat ditakrifkan di Malaysia sebagai pendedahan yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan tanpa perlindungan PPE, termasuk membekalkan penjagaan terus bagi pesakit Covid-19, bekerja dengan petugas penjagaan kesihatan yang dijangkiti virus Covid-19, melawat pesakit atau tinggal dalam persekitaran tertutup yang sama dengan pesakit, bekerja bersama dalam kedudukan yang hampir atau berkongsi persekitaran bilik yang sama dengan pesakit Covid-19.

“Namun begitu, pihak kementerian akan menyemak definisi itu daripada masa ke semasa. Ini adalah definisi yang kita guna pakai daripada WHO,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KKM pastikan kualiti vaksin Covid-19 ikut panduan WHO

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan memastikan vaksin Covid-19 yang lulus didaftar dan dipasarkan di Malaysia adalah selamat, berkualiti dan mempunyai keberkesanan optimum mengikut keperluan ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dokumen garis panduan yang diterbitkan WHO iaitu ‘WHO Target Product Profiles for Covid-19 Vaccines’ pada April lepas merangkumi aspek keberkesanan, keselamatan dan kualiti.

Beliau berkata berdasarkan garis panduan itu, vaksin tersebut haruslah menunjukkan tahap keberkesanan minimum dalam ujian klinikal sebanyak 50 peratus anggaran mata keberkesanan vaksin (VE) namun anggaran mata sebanyak 70 peratus amat digalakkan.

“Vaksin tersebut seharusnya menjana antibodi yang dapat kekal dalam badan seseorang untuk sekurang-kurangnya tempoh enam bulan namun VE adalah titik akhir dalam kajian klinikal fasa tiga.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Putrajaya pada 27 November 2020. Foto BERNAMA

“Buat masa ini, belum ada keputusan kajian klinikal fasa tiga diterbitkan bagi vaksin Covid-19 yang boleh dinilai oleh NPRA KKM. Justeru, maklumat VE bagi setiap calon vaksin belum dapat dipastikan,” menurutnya dalam hantaran di laman Facebook malam tadi.

Bagi aspek keselamatan, Dr Noor Hisham berkata vaksin itu harus memiliki profil keselamatan yang mencukupi supaya faedah diperoleh melebihi risiko (analisis nisbah faedah-risiko).

Jelasnya, vaksin tersebut perlu mempunyai kesan advers yang ringan dan bersifat sementara serta tiada kesan advers serius yang dilaporkan.

Dari segi kualiti, beliau berkata ia perlu mempunyai bukti pematuhan kepada Amalan Pengilangan Baik (APB).

“Data perkilangan perlu menunjukkan semua sumber bahan yang digunakan dalam proses perkilangan adalah dikawal secukupnya mengikut piawaian antarabangsa misalnya sejarah dan kelayakan bank sel, bank virus serta pengenalpastian semua bahan berasal daripada haiwan yang digunakan bagi kultur sel dan pertumbuhan virus.

“Data proses perkilangan yang perlu dikemukakan termasuk parameter proses kritikal, atribut kualiti kritikal (contohnya ketulenan, identiti dan kepotenan vaksin) dan rekod kumpulan ….selain spesifikasi bagi bahan ubat dan produk ubat perlu dikemukakan,” katanya.

Beliau berkata data lain seperti proses perkilangan yang konsisten termasuk dokumen protokol, proses validasi dan laporan kajian diperlukan malah data stabiliti yang menyokong jangka luput vaksin dan suhu optimum juga penting agar dapat menjamin kualiti vaksin jika digunakan dalam lingkungan suhu yang disyorkan.

-BERNAMA