Categories
SELANGOR

4 maut nahas kemalangan berasingan di Kajang

KAJANG 8 OKT: Dua kemalangan berasingan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban awal pagi tadi meragut nyawa empat penunggang motosikal.

BH ONLINE melaporkan kemalangan pertama di Kilometer (KM) 302 membabitkan dua penunggang motosikal berlanggar sesama sendiri sementara kemalangan kedua membabitkan tujuh buah motosikal dan sebuah kereta di KM 301.5.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yussof, kemalangan pertama akibat pelanggaran di antara dua buah motosikal.

“Kemalangan berlaku kira-kira pada jam 2.20 pagi. Berdasarkan keterangan saksi, kemalangan berpunca selepas seorang penunggang motosikal menghimpit sebuah lagi motosikal dari arah kiri.

“Akibat pelanggaran terbabit, kedua-dua motosikal terbabas dan kedua-dua penunggang mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian.
“Mangsa berusia 26 dan 16 tahun, berasal dari Selayang Baru dan Setapak, Kuala Lumpur dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dzaffir berkata, kemalangan kedua pula berlaku tidak sampai 15 minit selepas kemalangan pertama dan hanya 500 meter daripada lokasi kemalangan pertama.

Katanya, ia membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Axia dan tujuh motosikal jenis Yamaha LC.

Dalam kejadian pada jam 2.29 pagi, beliau berkata, Perodua Axia dipandu di lorong kedua, kemudian datang sebuah motosikal merempuh bahagian belakang sisi kanan Perodua Axia dan mengakibatkan pemandunya hilang kawalan.

“Kereta berkenaan berpusing dan seterusnya dirempuh oleh enam lagi penunggang motosikal yang tidak sempat mengelak.

“Penunggang motosikal yang mula-mula merempuh Perodua Axia maut di tempat kejadian sementara seorang lagi maut ketika menerima rawatan di Zon Merah, Hospital Serdang,” katanya.

Beliau berkata, lima penunggang yang lain mengalami kecederaan parah manakala pemandu kereta pula mengalami kecederaan di leher.

Dzaffir berkata, kedua-dua kes kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.