Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Le Tour De Selangor jelajah 600km seluruh daerah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 OKT: Kejohanan Le Tour De Selangor akan melalui 600 kilometer jarak laluan perlumbaan melibatkan semua daerah di Selangor.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, penganjuran julung kalinya itu akan melibatkan penyertaan lebih 100 pelumba tempatan dan luar negara.

“Kejohanan ini telah mendapat pengiktirafan daripada Kesatuan Berbasikal Sedunia dan Persekutuan Berbasikal Kebangsaan.

“Ia akan mengetengahkan konsep promosi dan media yang akan menjadi platform sukan pelancongan dan promosi produk pelancongan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Le Tour De Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, pagi ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN) Mohd Zubir Idrus.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri kini sedang mengkaji keperluan menjadikan penganjuran program itu sebagai program tahunan.

Beliau berkata, ia termasuklah perbincangan bersama agensi tertentu bagi melaksanakan perancangan itu.

“Di pihak Kerajaan Negeri, kami berharap kejohanan ini akan dijadikan sebagai temasya berkala dalam usaha Kerajaan Negeri memperkenalkan sukan berbasikal sebagai amalan gaya hidup sihat masyarakat,” katanya.

Sementara itu, penganjuran kejohanan akan bermula 16 hingga 21 Oktober depan.

Terdahulu, menerusi pembentangan Belanjawan Negeri untuk tempoh 2017 lalu, RM2 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi penganjuran prrogram itu.

=EZY=