Categories
NASIONAL

Alor Setar dilanda banjir kilat, hujan lebat lebih 3 jam

ALOR SETAR 11 OKT: Hujan lebat lebih tiga jam pagi tadi, menyebabkan beberapa kawasan sekitar bandar raya ini dinaiki air antara 0.3 hingga hampir satu meter.

BH ONLINE melaporkan antara lokasi dinaiki air ialah Bukit Pinang, Kepala Batas, Taman Mergong, Jalan Sultanah Bahiyah, Jalan Teluk Wanjah dan Kampung Tok Jalai.

Dua jalan utama yang ditenggelami air ialah Jalan Alor Setar-Hutan Kampung dan Alor Setar-Kepala Batas, manakala jalan alternatif atau jalan kampung turut dinaiki air.

Difahamkan, air mula melimpah selepas beberapa longkang utama dan sungai gagal menampung jumlah air yang banyak susulan hujan lebat melanda sejak jam 4.30 pagi itu.

Malah, lebih 100 murid Sekolah Kebangsaan Bukit Pinang terpaksa dipindahkan sebelum dibenar pulang ke rumah masing-masing berikutan air naik ke paras lutut.

Penyelaras Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Kapten (PA) Saifuddin Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai banjir kilat yang berlaku di SK Bukit Pinang, jam 10.30 pagi.

“Sepasukan unit kecemasan bergerak menggunakan kenderaan pacuan empat roda bergegas ke lokasi bagi membantu memindahkan murid yang terkandas.

“Semua murid terbabit dipindahkan ke kawasan tinggi sebelum diambil keluarga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Saifuddin berkata, pihaknya menjangkakan banjir surut menjelang petang kerana hujan mula beransur reda.

“Buat masa ini, semua anggota APM diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera,” katanya.

 

 

GAMBAR: SUMBER FB ADUAN RAKYAT KEDAH

=EZY=