Categories
GLOBAL

Arab Saudi beli peluru berpandu S-400, senjata dari Rusia

GLOBAL 7 OKT: Arab Saudi kini beralih kepada Rusia sebagai pembekal sistem persenjataannya bagi memperkukuh pertahanan negara itu apabila selama ini turut menjadi pengimport senjata daripada Amerika Syarikat.

Agensi Berita Antarabangsa AL-JAZEERA melaporkan Aras Saudi membeli sistem pertahanan udara iaitu peluru berpandu anti pesawat S-400, sistem peluru berpandu anti kereta kebal Kornet dan juga pelancar roket berbilang laras yang diumumkan ketika lawatan pertama kali Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Rusia.

Perjanjian awal dimeterai di luar acara lawatan bersejarah Raja Salman yang bertujuan mengukuhkan hubungan kedua-dua negara dalam bidang pelaburan dan usaha sama.

Industri Ketenteraan Arab Saudi (SAMI) menerusi satu kenyataan menyatakan bahawa perjanjian itu secara tidak langsung dilihat memainkan peranan pembangunan dan kemajuan sistem ketenteraan di negara ini.

Delegasi Arab Saudi ke Moscow turut menyaksikan persetujuan perjanjian pelaburan bersama melibatkan jumlah berbilion dolar, sekali gus mampu memacu pertumbuhan ekonomi Rusia yang kini berdepan masalah akibat kejatuhan harga minyak mentah dan sekatan dari negara-negara Barat.

S400 1Dalam pada itu, Presiden Vladimir Putin menyifatkan kunjungan delegasi Arab Saudi itu sebagai satu peristiwa bersejarah.

“Ini merupakan kunjungan kali pertama keluarga diraja Arab Saudi ke Rusia dan saya percaya lawatan ini akan mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.

Raja Salman dalam reaksinya pula berkata, Arab Saudi mahu mengukuhkan hubungan dengan Rusia dalam aspek keamanan dan keselamatan dengan hasrat untuk membangunkan ekonomi dunia.

Baginda turut memberitahu Putin bahawa Iran perlu berhenti campur tangan dalam konflik di Asia Barat.

“Kami menegaskan bahawa keselamatan serta kestabilan negara-negara Teluk dan Asia Barat adalah satu desakan untuk mencapai keamanan di Yemen.

“Situasi ini akan mendesak Iran untuk melepaskan campur tangan dalam hal ehwal dalaman dan tindakan yang menyebabkan ketidakstabilan serantau,” katanya.

=EZY=