Categories
PBT SELANGOR

MDKS anjur program kesedaran denggi

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 23 OKT: Sebanyak lima sekolah rendah dan lima sekolah menengah terpilih mengikuti program Taklimat Denggi anjuran Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan, Mohamad Yusli Askandar berkata, satu pasukan khas diwujudkan terdiri dalam kalangan murid dan guru bagi menjalankan kerja pencegahan denggi, di setiap sekolah.

Katanya, mereka akan dibimbing dan diberi tunjuk ajar serta perlu menghantar laporan bulanan kepada Unit Kawalan Vektor MDKS.

“Dengan membabitkan pelajar sekolah dalam program kesedaran dan pembasmian denggi, mereka lebih maklum betapa bahayanya penyakit ini.

“Kita percaya, mereka akan mengamalkan apa yang dipelajari dan seterusnya menangani masalah berkenaan, di kawasan tempat tinggal,” katanya.

Setiap sekolah turut menerima sumbangan ‘Spray Can’ dan peralatan lengkap bagi menjalankan kerja membasmi jentik–jentik.

Mohamad Yusli berkata, orang ramai juga dinasihatkan untuk lebih berhati-berhati dan memeriksa peralatan berpotensi menjadi takungan air.

“Mereka juga boleh bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan seterusnya bersama memerangi Aedes dan denggi,” katanya.

Aduan secara dalam talian boleh dilakukan menerusi aplikasi SPARks yang boleh dimuat turun secara percuma di Play Store dan App Store.