Categories
SUKANKINI

Awie intai aksi luar negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 21 OKT: Juara Tour De Selangor, Muhammad Zawawi Azman bersedia sekiranya diberi peluang untuk beraksi bersama pasukan berbasikal dari luar negara.

Muhammad Zawawi, 23 mengharapkan, aksi terbaik yang ditunjukkannya pada siri kejohanan berbasikal itu mampu merealisasikan hasratnya untuk lebih menyerlah di peringkat antarabangsa.

“Kejayaan Tour De Selangor mendorong saya untuk lebih kuat beraksi pada kejohanan lain memandangkan kejayaan ini akan menambah pengumpulan mata untuk saya beraksi di peringkat lebih baik.

“Sebelum ini saya telah banyak menyertai perlumbaan di peringkat Eropah dan saya harap kejayaan berterusan ini akan melayakkan saya untuk terpilih bersama pasukan di peringkat antarabangsa,” katanya kepada SelangorKini.

Muhammad Zawawi yang mesra disapa Awie itu muncul juara keseluruhan perlumbaan basikal Tour De Selangor pada jarak keseluruhan 558 kilometer.

Awie berjaya berjaya menamatkan saingan perlumbaan kesemua lima peringkat perlumbaan pada catatan masa 13 jam 05 minit 12 saat.

Lebih manis, pelumba terbaik tempatan pada siri Jelajah Malaysia 2017 lalu turut menyarung Jersi Merah Raja Bukit dengan kutipan 12 mata dan Jersi Kuning selaku Juara keseluruhan.

Kejayaan itu meletakkan pasukannya, Team Sapura Cycling (TSC) muncul juara kesuluruhan penganjuran kejohanan berbasikal di Selangor buat julung kalinya itu.

Untuk rekod, anak kelahiran Parit Buntar, Perak itu sebelum ini pernah beraksi di Sukan SEA, Kuala Lumpur Ogos lalu.

Beliau disenaraikan sebagai barisan pelumba trek berbasikal negara yang diketuai, atlet Azizulhasni Awang.

=EZY=