Categories
SUKANKINI

Awie menang rangkul dua jersi Tour De Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 21 OKT : Pelumba Team Sapura Cycling (TSC) Muhammad Zawawi Azman muncul juara keseluruhan perlumbaan basikal Tour De Selangor pada jarak keseluruhan 558 kilometer.

Muhammad Zawawi berjaya menamatkan saingan perlumbaan kesemua lima peringkat perlumbaan pada catatan masa 13 jam 05 minit 12 saat.

Lebih manis, pelumba terbaik tempatan pada siri Jelajah Malaysia 2017 lalu turut menyarung Jersi Merah Raja Bukit dengan kutipan 12 mata dan Jersi Kuning selaku Juara keseluruhan.

Kejayaan Zawawi yang juga mesra dipanggil Awie itu sekali gus meletakkan pasukan TSC muncul juara kategori berpasukan kejohanan yang berakhir petang tadi.

“Perlumbaan tadi menyaksikan perbezaan jarak antara pasukan saya dan pesaing kedua lain agak hampir, namun percaturan terbaik kami akhirnya berhasil.

“Pasukan TSC berjaya berada di kedudukan terbaik serta saya secara peribadi dapat menyarung Jersi Kuning dan Jersi Merah sebagai Raja Bukit.

“Ini boleh dianggap sebagai pencapaian saya yang boleh dibanggakan untuk tahun ini dan saya pastinya akan berlatih dengan lebih bagus lagi selepas ini,” katanya kepada SelangorKini.

Untuk rekod, anak kelahiran Parit Buntar, Perak itu sebelum ini pernah beraksi di Sukan SEA, Kuala Lumpur Ogos lalu.

Beliau disenaraikan sebagai barisan pelumba trek berbasikal negara yang diketuai, atlet Azizulhasni Awang.

Terdahulu, Majlis Penutupan Kejohanan Berbasikal Tour De Selangor 2017 dirasmikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Hadir sama, Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohd Zubir Idrus.

=EZY=