Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Kali pertama anjur, Tour De Selangor berjaya – MB

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 21 OKT : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan penganjuran julung kalinya Tour De Selangor sebagai kejayaan terbesar kejohanan sukan berbasikal di Selangor.

Beliau berkata, kejayaan itu membuka peluang kepada pentadbiran negeri menjayakan program berskala besar meliputi aspek sukan yang turut disertai pelumba dari dalam dan luar negara.

“Saya ucapkan tahniah kepada Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN) khususnya Exco bertanggungjawab, Amirudin Shari yang memimpin usaha penganjuran ini yang dilihat sangat bermanfaat kepada sukan berbasikal negeri.

“Walaupun ini kali pertama dianjurkan, kita berjaya menjelajah sejauh 558 kilometer ke seluruh daerah di Selangor kecuali Sabak Bernam.

“Matlamat kita mengajurkan program seperti ini tentunya bukan sahaja untuk memupuk budaya sihat dalam kalangan belia, tetapi ia sekali gus dapat memperkenalkan Selangor kepada masyarakat luar,” katanya kepada SelangorKini.

Mohamed Azmin berkata, penganjuran kejohanan seumpama itu juga boleh mecungkil bakat-bakat muda untuk lebih positif terlibat dalam aktiviti bersukan di negeri ini.

“Kita mengharapkan agar lebih ramai lagi bakat muda menerusi sukan berbasikal ini dapat dilahirkan pada masa akan datang demi kemajuan sukan negeri dan Malaysia secara amnya,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin hadir pada Majlis Penutupan Kejohanan Berbasikal Tour De Selangor 2017, di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Kejohanan itu menyaksikan pelumba Team Sapura Cycling (TSC) Muhammad Zawawi Azman muncul juara keseluruhan perlumbaan basikal Tour De Selangor pada jarak keseluruhan 558 kilometer.

Muhammad Zawawi berjaya menamatkan saingan perlumbaan kesemua lima peringkat perlumbaan pada catatan masa 13 jam 05 minit 12 saat.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Awie intai aksi luar negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 21 OKT: Juara Tour De Selangor, Muhammad Zawawi Azman bersedia sekiranya diberi peluang untuk beraksi bersama pasukan berbasikal dari luar negara.

Muhammad Zawawi, 23 mengharapkan, aksi terbaik yang ditunjukkannya pada siri kejohanan berbasikal itu mampu merealisasikan hasratnya untuk lebih menyerlah di peringkat antarabangsa.

“Kejayaan Tour De Selangor mendorong saya untuk lebih kuat beraksi pada kejohanan lain memandangkan kejayaan ini akan menambah pengumpulan mata untuk saya beraksi di peringkat lebih baik.

“Sebelum ini saya telah banyak menyertai perlumbaan di peringkat Eropah dan saya harap kejayaan berterusan ini akan melayakkan saya untuk terpilih bersama pasukan di peringkat antarabangsa,” katanya kepada SelangorKini.

Muhammad Zawawi yang mesra disapa Awie itu muncul juara keseluruhan perlumbaan basikal Tour De Selangor pada jarak keseluruhan 558 kilometer.

Awie berjaya berjaya menamatkan saingan perlumbaan kesemua lima peringkat perlumbaan pada catatan masa 13 jam 05 minit 12 saat.

Lebih manis, pelumba terbaik tempatan pada siri Jelajah Malaysia 2017 lalu turut menyarung Jersi Merah Raja Bukit dengan kutipan 12 mata dan Jersi Kuning selaku Juara keseluruhan.

Kejayaan itu meletakkan pasukannya, Team Sapura Cycling (TSC) muncul juara kesuluruhan penganjuran kejohanan berbasikal di Selangor buat julung kalinya itu.

Untuk rekod, anak kelahiran Parit Buntar, Perak itu sebelum ini pernah beraksi di Sukan SEA, Kuala Lumpur Ogos lalu.

Beliau disenaraikan sebagai barisan pelumba trek berbasikal negara yang diketuai, atlet Azizulhasni Awang.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Tour De Selangor 2017: Tampil cabaran baru dan kelainan

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 17 OKT: Kejohanan berbasikal Tour De Selangor 2017 memberi cabaran berbeza kepada pelumba apabila bermula di satu stesen di sepanjang ia dilangsungkan.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berharap kelainan ditampilkan itu akan diterima baik pelumba akan semua pihak juga orang ramai.

“Berbanding kejohanan lain dimulakan di lokasi tertentu, kelainannya ia bermula di satu stesen iaitu di Shah Alam dan akan menjelajah di semua daerah kecuali Sabak Bernam.

“Kita akan melihat maklum balas daripada pelumba dan saya percaya selepas ia berjalan hari ini hingga ke akhir, diharap respon daripada orang ramai bertambah baik,” katanya kepada SelangorKini selepas merasmikan kejohanan Berbasikal Tour De Selangor 2017 di Laman MBPJ, di sini, hari ini.

Kejohanan itu dimulakan di Petaling Jaya atas kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di mana pada hari pertama ini peserta akan menamatkan perlumbaan di Bukit Melawati, Kuala Selangor.

Sebanyak 15 pasukan dari dalam dan luar negara akan mengharungi lima peringkat perlumbaan sejauh 558.4 kilometer.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri berharap kejohanan kali pertama itu berjalan lancar dan dapat diteruskan pada masa depan.

“Saya berharap kejohanan ini dapat diteruskan lagi, jika tidak secara tahunan mungkin dua tahun sekali,” katanya.

 

 

 

 

 

=EZY=

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Le Tour De Selangor jamin keselamatan terbaik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM 8 OKT: Kerajaan Negeri memberi jaminan penganjuran Le Tour De Selangor berada pada tahap keselamatan terbaik, kata Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari.

Beliau berkata, penganjuran kejohahan itu mendapat kerjasama baik daripada agensi dan pihak berkuasa terlibat.

“Kita sudah hubungi polis dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Selain itu, kita juga telah bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan dan akan cuba pastikan tiada sebarang isu keselamatan terjadi.

“Kerajaan Negeri berharap, penganjuran Le Tour De Selangor ini akan berjalan baik memandangkan kami mempunyai pengalaman dalam membantu penganjuran Jelajah Malaysia sebelum ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Le Tour De Selangor di Dataran Kemerdekaan, di sini, pagi ini.

Sementara itu, kejohanan Le Tour De Selangor bakal melalui sembilan daerah di negeri itu, meliputi jarak laluan 600 kilometer.

Amirudin berkata, penganjuran program julung kalinya itu memfokuskan kepada inisiatif produk pelancongan sukan negeri.

“Pada masa sama, kita akan menilai kekuatan di peringkat Kerajaan Negeri untuk menjadikan program ini setiap tahun atau dwitahunan.

“Tapi apa yang lebih penting, penganjuran kejohahan ini juga bertujuan untuk mengangkat sukan berbasikal negeri ke tahap antarabangsa.

“Oleh sebab itulah kita memohon lesen daripada Kesatuan Berbasikal Sedunia dan Persekutuan Berbasikal Kebangsaan,” katanya.

Penganjuran kejohanan akan bermula 16 hingga 21 Oktober depan, melibatkan jarak laluan 600 kilometer di seluruh daerah negeri Selangor.

Terdahulu, menerusi pembentangan Belanjawan Negeri untuk tempoh 2017 lalu, RM2 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi penganjuran prrogram itu.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Le Tour De Selangor jelajah 600km seluruh daerah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 OKT: Kejohanan Le Tour De Selangor akan melalui 600 kilometer jarak laluan perlumbaan melibatkan semua daerah di Selangor.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, penganjuran julung kalinya itu akan melibatkan penyertaan lebih 100 pelumba tempatan dan luar negara.

“Kejohanan ini telah mendapat pengiktirafan daripada Kesatuan Berbasikal Sedunia dan Persekutuan Berbasikal Kebangsaan.

“Ia akan mengetengahkan konsep promosi dan media yang akan menjadi platform sukan pelancongan dan promosi produk pelancongan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Le Tour De Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, pagi ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN) Mohd Zubir Idrus.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri kini sedang mengkaji keperluan menjadikan penganjuran program itu sebagai program tahunan.

Beliau berkata, ia termasuklah perbincangan bersama agensi tertentu bagi melaksanakan perancangan itu.

“Di pihak Kerajaan Negeri, kami berharap kejohanan ini akan dijadikan sebagai temasya berkala dalam usaha Kerajaan Negeri memperkenalkan sukan berbasikal sebagai amalan gaya hidup sihat masyarakat,” katanya.

Sementara itu, penganjuran kejohanan akan bermula 16 hingga 21 Oktober depan.

Terdahulu, menerusi pembentangan Belanjawan Negeri untuk tempoh 2017 lalu, RM2 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi penganjuran prrogram itu.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Le Tour De Selangor jelajah seluruh daerah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 OKT: Selangor bakal menganjurkan perlumbaan basikal Le Tour De Selangor merangkumi penyertaan pelumba basikal dari dalam dan luar negara pada 17 hingga 21 Oktober ini.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, pengumuman butiran lanjut membabitkan penganjuran perlumbaan itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Penganjuran siri pelumbaan Le Tour de Selangor akan diadakan pada 17 hingga 21 Oktober ini. Kita akan umumnya untuk hebahan umum.

“Menariknya, trek laluan perlumbaan akan melalui seluruh daerah di Selangor,” katanya kepada pemberita selepas hadir bagi upacara pelepasan Jelajah Malaysia 2017 di Toyota Motor Seksyen 15, hari ini.

BANGUNAN SUKMenerusi pembentangan Belanjawan Negeri untuk tempoh 2017 lalu, RM2 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi penganjuran kejohanan berbasikal itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penganjurannya bertujuan untuk mempromosikan pelancongan sukan negeri.

“Penganjuran ini sekaligus dapat mempromosikan produk pelancongan setiap daerah dan memupuk perpaduan rakyat pelbagai kaum.

“Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan RM2 juta untuk tujuan penganjuran kejohanan Le Tour de Selangor Antarabangsa Selangor,” katanya.

Difahamkan, penganjuran kejohanan turut mendapat kerjasama Persatuan Berbasikal Malaysia dan Persatuan Berbasikal Selangor.

=EZY=