Categories
NASIONAL

Bajet Najib tidak bertanggungjawab, mirip Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Bajet Persekutuan 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab kerana memperuntukkan belanja mengurus sehingga 84 peratus dan pembangunan 16 peratus.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan pembangunan yang rendah mampu membantutkan pertumbuhan ekonomi negara, sama seperti tahun lalu.

Katanya, Kerajaan Persekutuan seharusnya mencontohi Selangor yang meletakkan belanja pembangunan lebih 53 peratus, dalam belanjawannya.

“Bagaimana Kerajaan Malaysia ingin merancakkan pertumbuhan ekonomi kalau pembangunan hanya 16 peratus?

“Sekali lagi saya mengajak rakyat melihat belanjawan yang akan dibentangkan Selangor yang berjaya menaikkan belanja pembangunan kepada lebih 53 peratus dan ini satu contoh pembangunan ekonomi bertanggungjawab,” katanya di luar lobi Parlimen, hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak turut mendakwa bajet dibentangkan kali ini mirip kepada inisiatif dilakukan, di Selangor seperti Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan Selangor Brain Bank.

Beliau turut memeprsoalkan peruntukan rendah terhadap dasar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang diumumkan Najib.

“Bagaimana kita hendak melatih generasi muda dalam kemahiran memenuhi pasaran industri jika peruntukan diberi hanya RM4.5 juta?

“Sedangkan Selangor akan memberi peruntukan lebih RM50 juta untuk TVET,” katanya.

Antara inisatif diperkenalkan Kerajaan Persekutuan dan mirip pelaksanaan, di Selangor adalah MyBrain, tabung anak baru lahir dikenali sebagai ADAM50 dan Off River Storage (ORS) demi menjaga sumber air.