Categories
NASIONAL

Bajet Najib gagal faham derita rakyat – Wan Azizah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Bajet 2018 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak menggambarkan keperitan dilalui rakyat, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, bajet itu sekadar cubaan bagi meraih populariti undi menjelang Pilihan Raya Umum 14, akan datang.

Lebih mengecewakan kata Azizah lagi, tiada sebarang penumpuan inisiatif baru yang dapat memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

“Perdana Menteri tidak memahami realiti sebenar kehidupan rakyat kini. Jurang pendapatan rakyat miskin akan semakin melebar dengan lebih banyak lagi masalah akan timbul.

“Contohnya pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan menekan kebajikan rakyat dan apa yang diumumkan Najib hanya bersifat pilihan raya semata-mata,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, petang ini.

Wan Azizah berkata, pembentangan Belanjawan 2018 itu juga menyaksikan kegagalan Najib dalam usaha memerangi budaya rasuah dan penyelewengan kewangan melibatkan syarikat milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Pengumuman Najib hanya bersifat sementara. Sebagai sebuah Kerajaan, Najib seharusnya turut fokus kepada agenda untuk menghapuskan budaya korupsi, ketirisan dan penyelewengan.

“Ia sewajarnya menjadi tumpuan utama dan bukan sekadar memberi gula-gula kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2018 mendakwa kononnya, bajet berkenaan adalah bersifat inklusif yang mengambil kira kepentingan rakyat dan lapisan masyarakat.

Bagaimanapun, Bajet 2018 menyaksikan sekitar peruntukan RM280.25 bilion bagi pengurusan perbelanjaan mengurus dan pembelanjaan pembangunan.