Categories
NASIONAL

Mansuh tol kemenangan perjuangan rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Perjuangan rakyat yang selama ini mendesak tol Batu Tiga dan Sungai Rasau dimansuhkan mencapai titik kemenangan apabila Kerajaan Persekutuan akhirnya tunduk untuk berbuat demikian, bermula 1 Januari 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pengumuman pemansuhan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet Persekutuan 2018 merupakan kejayaan perjuangan rakyat menolak sistem tol.

“Soal tol Batu Tiga Shah Alam, saya ucapkan tahniah kepada rakyat Selangor yang berani bangkit menuntut hak mereka setelah beberapa tahun berjuang.

“Hari ini, Kerajaan Persekutuan terpaksa tunduk kepada rakyat Selangor dan membatalkan tol di Batu Tiga, Shah Alam (dan Sungai Rasau),” katanya.

Di bawah inisiatif meningkatkan pendapatan boleh guna, Najib mengumumkan pemansuhan dua tol utama yang terdapat, di Selangor yang menghubungkan laluan Kuala Lumpur-Shah Alam-Klang di Lebuhraya Persekutuan.

Selain Selangor, dua lagi tol yang dimansuhkan bermula 1 Januari 2018 adalah Bukit Kayu Hitam, di Kedah dan Eastern Dispersal Link, di Johor.