Categories
NASIONAL

BAJET 2018 gagal rungkai kelembapan tawaran rumah mampu milik

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan Persekutuan digesa memohon maaf kepada rakyat Malaysia di atas kegagalannya mengotakan janji menyediakan 1.1 juta rumah mampu milik seperti diumumkan ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, ia suatu yang mustahil untuk Kerajaan Persekutuan menepati janjinya apabila kini hanya 21 peratus sahaja projek perumahan itu dibangunkan.

“Setakat ini hanya 241, 575 rumah mampu milik dibina iaitu 21.3 peratus sahaja daripada sasaran. Manakala 634, 235 unit rumah mampu milik atau 57 peratus sedang dibina dan bakinya 22 peratus masih dalam perancangan.

“Dengan hanya berbaki kurang 10 bulan, suatu yang mustahil untuk kerajaan menepati janji 1.1 juta rumah mampu milik, ini kerana hanya 21 peratus yang tercapai. Walaupun ada yang sedang dibangunkan, sasaran itu masih lagi tersasar 22 peratus,” katanya merujuk kepada statistik terkini yang dibentangkan, di Parlimen.

Khalid dalam kenyataannya hari ini berkata, prestasi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) juga menunjukkan kegagalan sama sedangkan PR1MA seharusnya membina 500,000 rumah mampu milik menjelang 2018 sebelum PRU-14.

Katanya, setakat ini rumah mampu milik yang dibina adalah 9,791 bersamaan 1.9 peratus sahaja daripada sasaran asal iaitu masih berbaki 277,693 unit.

“Apabila janji 1.1 juta unit ini ditaburkan gagal mencapai sasaran, ia mengusarkan lagi keadaan yang berlaku dalam kelembapan penawaran perumahan mampu milik.

“Kekurangan unit rumah mampu milik di pasaran Malaysia menyebabkan implikasi buruk kepada rakyat antaranya kenaikan harga rumah mendadak, makin ramai tidak mampu memiliki rumah, peningkatan hutang isi rumah bagi golongan pertengahan M40 dan bakal menjadikan generasi akan datang yang ‘homeless’,” katanya.

Terdahulu, Khalid menerusi sidang Parlimen bertanya kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkenaan kedudukan terkini penyediaan 1.1 juta rumah mampu milik yang dijanjikan Barisan Nasional ketika PRU-13.

Katanya, kronologi janji itu bermula dengan sejuta rumah mampu milik dan diikuti pertambahan 100 ribu unit lagi menjadikannya 1.1 juta rumah yang dijanjikan.

Menurut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2016, dianggarkan Malaysia sejak 2015 kekurangan 960,000 rumah mampu milik bagi melengkapi permintaan rakyat pertengahan berdasarkan jumlah isi rumah.

Malah, Khazanah Research Institut mendedahkan bahawa nilai hartanah di Malaysia masih lagi dimonopoli oleh rumah tidak mampu milik melebih RM300,000 dan ke atas.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, realiti pendapatan purata rakyat Malaysia masih lagi 50 peratus adalah berpendapatan RM2,000 dan ke bawah,

“Manakala 75 peratus pasaran perumahan dimonopoli rumah tidak mampu milik berharga RM300,000 dan ke atas menurut laporan tahunan suku ke-2 REHDA.

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Bajet 2018 Najib, bajet cerekarama

Bajet 2018 dengan temanya yang merepek panjang, merupakan bajet berunsur cerekarama yang terhebat dalam sejarah negara dan oleh itu, layak menjadi pemenang anugerah cerekarama terbaik Malaysia! Ada beberapa sebab mengapa saya katakan demikian.

Pertama, pelbagai peruntukan dan pemberian diumumkan dengan sepintas lalu dan penuh bangga namun dari manakah Dato’ Seri Najib akan mencekau wang defisit sejumlah RM42.35 bilion akibat daripada unjuran perbelanjaan Bajet 2018 sebanyak RM282.25 bilion yang melebihi hasil sebanyak RM239.86 bilion?

Sudah tentulah dengan meminjam atau berhutang kan. Namun umum mengetahui bahawa hutang negara sudah tinggi iaitu hampir mencecah siling nisbah hutang-KDNK sebanyak 55%. Itu belum dikira hutang kontingen yang tidak dimasukkan dalam Bajet kerajaan seperti 1MDB, MRT dan Felda.

Apakah tambahan hutang RM42.35 bilion sangat perlu? Sudahkah kerajaan mengambilkira kadar faedah yang terpaksa dibayar ke atas hutang itu yang dianggarkan berjumlah RM31 bilion atau lebih kurang 15% daripada perbelanjaan operasi negara? Apakah rakyat kini dicukai untuk membayar hutang atau untuk mendapat manfaat daripada cukai tersebut?

Menurut Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Pembangkang dan Presiden Pakatan Harapan, dalam ucapan perbahasan beliau pada 30 Oktober, RM31 bilion itu cukup untuk membina 60 buah hospital dalam setahun!

Tanya beliau kepada Dewan Rakyat, “apakah harapan rakyat Malaysia terhadap pembentangan bajet 2018 ini? Jawapannya mudah; rakyat mengharapkan bajet ini mampu merawat derita yang mereka tanggung sejak 2009”.

Namun hakikatnya, ramai rakyat yang terhimpit akibat kenaikan harga barang dan harga minyak. Subsidi dihapuskan, kesihatan semakin mahal dan pendidikan didagangkan.

“Rakyat tidak mampu menyediakan makanan berkualiti untuk keluarga terutama untuk anak-anak yang sedang membesar,” ujar Dato’ Seri Dr Wan Azizah.

Dalam masa yang sama, mengapakah kerajaan tidak meletakkan keutamaan kepada pembanterasan rasuah, pembaziran dan ketirisan sebagai langkah penjimatan penting kepada perbelanjaan yang terus mengembung? Saya langsung tidak nampak komitmen kerajaan dalam hal ini.

Pakatan Harapan sebaliknya telah membentangkan Belanjawan 2018 yang dengan jelas meletakkan asas prinsipnya kepada premis ini dan menolak cukai regresif GST sebagai langkah penampungan perbelanjaan negara malah dengan berani meletakkan angka RM20 bilion sebagai penjimatan daripada ketirisan dan rasuah termasuk memotong peruntukan Jabatan Perdana Menteri yang diketahui sangat kembung.

Menurut Dato’ Seri Dr Wan Azizah, Pakatan Harapan secara bersungguh-sungguh mengetengahkan idea-idea fiskal, kewangan dan ekonomi dalam kerangka mengurus dan membangunkan negara yang bebas dari amalan kleptokrasi, rasuah, ketirisan, pembaziran, salah guna kuasa, penyiasatan terpilih, pendakwaan terpilih dan penghakisan demokrasi berparlimen.

“Pakatan Harapan telah menggariskan dasar-dasar sosioekonomi, pembangunan ekonomi serta perindustrian dan perdagangan yang menyentuh langsung dalam usaha merawat derita rakyat lantaran salah urus dan tadbir kewangan negara oleh Barisan Nasional” tegas Dato’ Seri Dr Wan Azizah.

Lantas katanya lagi, Pakatan Harapan telah mengumumkan 10 perkara berikut dalam belanjawannya iaitu hapuskan GST, hapuskan tol, pendidikan percuma untuk semua, pelaksanaan gaji minimum RM 1,500 di seluruh negara, rumah mampu milik, dasar hapus rasuah, hapus campur tangan politik dalam Felda, menaikkan royalti minyak 20 peratus kepada negeri Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak, cuti bersalin 120 hari dan dana RM 15 bilion untuk pembangunan Sabah dan Sarawak.

Kedua, terdapat penurunan peruntukan beberapa perkara penting jika dibandingkan dengan Bajet tahun lalu walaupun pengumuman yang dibuat oleh Dato’ Seri Najib kedengaran sangat hebat. Contohnya, perbelanjaan untuk pendidikan dan latihan yang diumumkan peruntukan sebanyak RM5.2 bilion. Namun apabila disemak peruntukan Bajet tahun lalu, ia sebenarnya lebih tinggi, iaitu RM5.9 bilion. Bermakna ada penurunan peruntukan dalam Bajet tahun ini.

Ketiga, jurang perbezaan peruntukan yang ketara antara pemberian kepada rakyat secara langsung dan dana yang diperuntukkan kepada projek atau inisiatif tertentu.

Contohnya, walaupun diumumkan bayaran khas bagi penjawat awam sebanyak RM1,500 bagi penjawat awam, bayaran “one-off” sebanyak RM1,500 kepada Imam, Bilal, guru KAFA dan Takmir serta elaun bagi warga emas dan OKU dinaikkan kepada RM350 and RM100 masing-masing.

Namun jumlah peruntukan bagi pemberian-pemberian itu adalah kecil jika dibandingkan dengan peruntukan kepada misalnya Dana Pembangunan Pengangkutan dengan peruntukan RM3 bilion. Siapakah yang mendapat faedah daripada dana begini? Sudah tentu bukan rakyat biasa.

Ketiga, isu utama rakyat iaitu kos sara hidup jelas tidak ditangani oleh Bajet 2018. Antara sebab utama kenaikan kos sara hidup ialah kenaikan harga barang, cukai GST dan gaji yang rendah. Apakah Bajet 2018 mengutarakan dasar untuk menangani kos sara hidup selain daripada pemberian segera seperti BR1M dan bayaran khas “one-off”?

Pada pendapat Dato’ Seri Dr Wan Azizah, pelaksanaan GST adalah semata-mata untuk menampung kekurangan dana kerajaan akibat pemborosan, rasuah dan ketirisan. Maka seluruh rakyat termasuk fakir miskin, penerima BR1M dan asnaf zakat pun terpaksa membayar GST. Katanya, “tidak semua rakyat menerima BR1M, tetapi semua rakyat dipaksa membayar GST”.

Sedang Belanjawan Pakatan Harapan mengesyorkan pemansuhan GST dan memperincikan kaedah menampung kekurangan hasil akibat daripadanya, Bajet 2018 masih mengekalkan GST malah memberikan pelepasan kepada perkara-perkara yang tidak meringankan beban rakyat secara langsung.

Contohnya, pelepasan GST ke atas operator kapal persiaran (cruiser) dan ke atas pengimportan big ticket items seperti kapal terbang dan kapal oleh syarikat penerbangan dan perkapalan. Apakah faedah pelepasan itu akan sampai kepada rakyat biasa yang terhimpit dengan derita kehidupan?

Keempat, berkait dengan gaji yang rendah dan lambakan pekerja asing, amatlah jelas bahawa Bajet 2018 juga tidak menyentuh tentang kenaikan gaji minimum. Kadar semasa sebanyak RM1,000 bagi Semenanjung dan RM920 bagi Sabah dan Sarawak tidak boleh lagi dianggap sebagai jumlah sara hidup yang wajar di Malaysia.

Belanjawan Pakatan Harapan meningkatkan kadar gaji minimum kepada RM1,500 untuk seluruh negara. Inilah kadar yang dituntut oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang.

Kesimpulannya, Bajet 2018 berunsur bajet cerekarama kerana persembahannya yang bersandarkan janji-janji yang tidak ditepati, sindiran yang angkuh dan angan-angan mat jenin yang tidak berpijak kepada bumi nyata.

Bajet yang juga boleh dikatakan bajet bangsawan yang gah lagi hebat tetapi gagal dan pincang dalam mengeluarkan rakyat dan negara daripada gejala najis rasuah, pemborosan dan kleptokrasi.

Justeru, akuilah bahawa Bajet 2018 yang dikatakan Ibu Segala Bajet itu hanyalah sebuah bajet cerekarama.

Tuan Yang Dipertua, saya mohon menolak jauh ke tepi Bajet 2018!

OLEH: Syed Ibrahim Syed Noh, Ketua Penerangan Parti KEADILAN Rakyat

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Peruntukan JPM tertinggi RM17.4 bilion perlu sistem semak dan imbang

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 OKT: Peruntukan tinggi mencecah RM17.4 bilion diberikan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) adalah satu pembaziran, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata, peruntukan itu diletakkan di bawah seorang individu tanpa pengawasan atau sistem ‘check and balance’ untuk memastikan perbelanjaan dilakukan secara berhemah dan telus.

“Ia amat mengecewakan kerana belanja mengurus diletakkan begitu tinggi.

“Dengan kos sara hidup yang begitu membebankan, Perdana Menteri dan JPM masih terus berbelanja mewah dan tidak peduli masalah rakyat,” katanya kepada Selangor Kini sejurus menyempurnakan Program Jom Sihat PNSB, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas peruntukan tambahan RM1.5 bilion kepada JPM pada 2018 berbanding tahun semasa, bersamaan 6.2 peratus daripada bajet negara.

Ia merupakan sebahagian daripada Bajet 2018 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 27 Oktober lalu.

Najib memperuntukkan RM234.25 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Antara lain, Najib turut memperkenalkan beberapa inisiatif mirip program di Selangor seperti MyBrain, Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (Adam50) dan Off River Storage (ORS).

Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar berkata, langkah Najib itu membuktikan inisiatif Selangor adalah terbaik.

“Kita dapat saksikan beberapa pengumuman mengikuti jejak langkah Selangor.

“Akhirnya Perdana Menteri sendiri akui apa yang kita lakukan adalah terbaik,” katanya.

 

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Saya ke China bukan melutut seperti Najib di AS

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 OKT: Kunjungan Kerajaan Negeri ke China adalah untuk menarik pelaburan masuk ke Selangor, tegas Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, tindakan itu seharusnya dicontohi Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak ketika mengunjungi White House.

Katanya, Putrajaya seharusnya lebih arif langkah Selangor berjaya meningkatkan Pelaburan Langsung Asing (FDI), pelaburan domestik dan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Pencapaian ini semua diakui Jabatan Statistik Negara.

“Sebaliknya Najib umum mahu gunakan duit rakyat untuk bina infrastruktur di sana, buat apa, Amerika Syarikat tidak perlukan duit Malaysia.

“Itu beza saya dan dia, saya bukan melutut ke China,” katanya kepada pemberita.

Beliau diminta mengulas perbezaan kunjungan dilakukannya ke luar negara berbanding Najib yang juga Menteri Kewangan.

Semalam, Najib menerusi pembentangan Bajet 2018 menyindir kononnya lawatan Kerajaan Negeri bertujuan menjual Selangor kepada pelabur luar.

Pada September lalu, Mohamed Azmin mengetuai delegasi Selangor ke Guangdong, China menghadiri Majlis Pembukaan Forum Pembangunan, Kerjasama Industri dan Kewangan negara itu.

Kunjungannya juga bagi memenuhi jemputan berucap oleh 21st Maritime Silk Road untuk berkongsi polisi dan dasar Kerajaan Negeri di hadapan pelabur berpotensi di sana.

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

Bajet 2018: Jangan pertaruh nyawa pelajar Tahfiz

Bajet 2018 yang dikatakan ibu segala bajet memperuntukkan RM 280.25 bilion secara keseluruhan bagi perbelanjaan negara pada tahun 2018. Wang sebanyak itu digunakan bagi memacu negara ke arah Transformasi Nasional 2050.

Terdapat 8 Petunjang yang digariskan. Uniknya kali ini tunjang ke 8 yang mensasarkan Par-excellance duniawi dan ukhrawi turut menyenaraikan aspek keselamatan pusat-pusat tahfiz dengan peruntukan RM 50 juta.

Namun ada sesuatu yang musykil apabila disebutkan “Membaik pulih dan menyelenggara sistem pendawaian di semua sekolah tahfiz yang
berdaftar dikendalikan oleh GiatMara: (RM50j)”

Adakah pusat-pusat tahfiz ini akan menjadi medan latihan amali para pelatih Pusat Giat Mara? Bilakah Pusat Giat Mara menjadi sebuah syarikat berdaftar yang menjalankan kerja-kerja pendawaian elektrik?

Adakah nanti jika berlaku kebakaran pihak Giat Mara boleh dipertanggungjawabkan?

Jika boleh, kenapa sekolah-sekolah kerajaan lain tidak menggunakan khidmat Giat Mara bagi kerja-kerja pendawaian elektrik?

Maka nyawa para huffaz sekali lagi menjadi pertaruhan apabila pusat-pusat tahfiz menjadi tempat latihan amali bagi kerja-kerja pendawaian elektrik.

Justeru itu, gelaran ibu segala bajet nasional tidak layak diberikan kepada bajet 2018 apabila nyawa para huffaz ditangani secara tidak profesional dan tidak bertanggungjawab.

OLEH: AMIDI BIN ABDUL MANAN, Pengerusi
Pertubuhan Pendidikan Sejahtera Malaysia (PENDIDIK).

Categories
NASIONAL

Bajet Najib ‘Gendang Perang PRU14’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2018 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak petang tadi jelas bertujuan menarik undi rakyat semata-mata, kata Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin.

Katanya, pengumuman bajet berkenaan sebagai pentanda awal bahawa Pilihan Raya Umum (PRU14) akan diadakan dalam tempoh terdekat.

“Kita tidak lihat suatu usaha bersungguh-sungguh daripada Kerajaan Persekutuan untuk mengangkat ekonomi masyarakat khususnya golongan muda.

“Perdana Menteri mendakwa bajet ini bersifat realistik, namun pada saya ini adalah belanjawan untuk menarik sokongan yang semakin kritikal kepada kerajaan kini.

“Kita sudah nampak berlakunya trend itu, dan ramai yang beranggapan ini sebagai bajet pilihanraya, namun tidak lupa ini sebenarnya bajet gendang perang pilihanraya oleh Perdana Menteri,” katanya.

Ahli Parlimen Bukit Katil itu bercakap kepada pemberita di Lobi Parlimen, selepas pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, di Dewan Rakyat.

Pada masa sama kata Shamsul, dasar Transformasi 2050 (TN50) Perdana Menteri yang turut dinyatakan dalam Bajet 2018 dilihat gagal memacu kepada pertumbuhan ekonomi pada landasan terbaik.

Katanya, pelaksanaan dasar itu masih memerlukan tumpuan secara menyeluruh dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi rakyat.

“Saya teliti soal TN50 yang dihurai Perdana Menteri secara panjang lebar. Kebimbangan saya seperti yang dinyakatan mengikut pakar ekonomi, Dr Mohammad Khalid.

“Beliau menjangkakan 2050 negara akan berhadapan dengan rakyat yang miskin, justeru inilah kelemahan utama yang menyaksikan kegagalan bajet kali ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Mansuh tol kemenangan perjuangan rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Perjuangan rakyat yang selama ini mendesak tol Batu Tiga dan Sungai Rasau dimansuhkan mencapai titik kemenangan apabila Kerajaan Persekutuan akhirnya tunduk untuk berbuat demikian, bermula 1 Januari 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pengumuman pemansuhan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet Persekutuan 2018 merupakan kejayaan perjuangan rakyat menolak sistem tol.

“Soal tol Batu Tiga Shah Alam, saya ucapkan tahniah kepada rakyat Selangor yang berani bangkit menuntut hak mereka setelah beberapa tahun berjuang.

“Hari ini, Kerajaan Persekutuan terpaksa tunduk kepada rakyat Selangor dan membatalkan tol di Batu Tiga, Shah Alam (dan Sungai Rasau),” katanya.

Di bawah inisiatif meningkatkan pendapatan boleh guna, Najib mengumumkan pemansuhan dua tol utama yang terdapat, di Selangor yang menghubungkan laluan Kuala Lumpur-Shah Alam-Klang di Lebuhraya Persekutuan.

Selain Selangor, dua lagi tol yang dimansuhkan bermula 1 Januari 2018 adalah Bukit Kayu Hitam, di Kedah dan Eastern Dispersal Link, di Johor.

Categories
NASIONAL

Bajet Najib tidak bertanggungjawab, mirip Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Bajet Persekutuan 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab kerana memperuntukkan belanja mengurus sehingga 84 peratus dan pembangunan 16 peratus.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan pembangunan yang rendah mampu membantutkan pertumbuhan ekonomi negara, sama seperti tahun lalu.

Katanya, Kerajaan Persekutuan seharusnya mencontohi Selangor yang meletakkan belanja pembangunan lebih 53 peratus, dalam belanjawannya.

“Bagaimana Kerajaan Malaysia ingin merancakkan pertumbuhan ekonomi kalau pembangunan hanya 16 peratus?

“Sekali lagi saya mengajak rakyat melihat belanjawan yang akan dibentangkan Selangor yang berjaya menaikkan belanja pembangunan kepada lebih 53 peratus dan ini satu contoh pembangunan ekonomi bertanggungjawab,” katanya di luar lobi Parlimen, hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak turut mendakwa bajet dibentangkan kali ini mirip kepada inisiatif dilakukan, di Selangor seperti Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan Selangor Brain Bank.

Beliau turut memeprsoalkan peruntukan rendah terhadap dasar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang diumumkan Najib.

“Bagaimana kita hendak melatih generasi muda dalam kemahiran memenuhi pasaran industri jika peruntukan diberi hanya RM4.5 juta?

“Sedangkan Selangor akan memberi peruntukan lebih RM50 juta untuk TVET,” katanya.

Antara inisatif diperkenalkan Kerajaan Persekutuan dan mirip pelaksanaan, di Selangor adalah MyBrain, tabung anak baru lahir dikenali sebagai ADAM50 dan Off River Storage (ORS) demi menjaga sumber air.

 

Categories
NASIONAL

Bajet Najib gagal faham derita rakyat – Wan Azizah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Bajet 2018 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak menggambarkan keperitan dilalui rakyat, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, bajet itu sekadar cubaan bagi meraih populariti undi menjelang Pilihan Raya Umum 14, akan datang.

Lebih mengecewakan kata Azizah lagi, tiada sebarang penumpuan inisiatif baru yang dapat memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

“Perdana Menteri tidak memahami realiti sebenar kehidupan rakyat kini. Jurang pendapatan rakyat miskin akan semakin melebar dengan lebih banyak lagi masalah akan timbul.

“Contohnya pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan menekan kebajikan rakyat dan apa yang diumumkan Najib hanya bersifat pilihan raya semata-mata,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, petang ini.

Wan Azizah berkata, pembentangan Belanjawan 2018 itu juga menyaksikan kegagalan Najib dalam usaha memerangi budaya rasuah dan penyelewengan kewangan melibatkan syarikat milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Pengumuman Najib hanya bersifat sementara. Sebagai sebuah Kerajaan, Najib seharusnya turut fokus kepada agenda untuk menghapuskan budaya korupsi, ketirisan dan penyelewengan.

“Ia sewajarnya menjadi tumpuan utama dan bukan sekadar memberi gula-gula kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2018 mendakwa kononnya, bajet berkenaan adalah bersifat inklusif yang mengambil kira kepentingan rakyat dan lapisan masyarakat.

Bagaimanapun, Bajet 2018 menyaksikan sekitar peruntukan RM280.25 bilion bagi pengurusan perbelanjaan mengurus dan pembelanjaan pembangunan.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Bajet 2018 tiru dasar kebajikan Selangor?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 27 OKT : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan Bajet 2018 menggunakapakai dasar berkebajikan sedia ada yang sudah dilaksanakan di Selangor.

Menulis di Twitter, Ahli Parlimen Gombak itu mendedahkan butiran dasar berkebajikan Selangor yang lebih awal dilaksanakan sejak Pakatan menerajui kepimpinan negeri.

Antaranya kata Mohamed Azmin, Selangor Brain Bank, Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan Program TVET Selangor yang disifatkan Mohamed Azmin lebih tinggi jumlah peruntukan dikeluarkan Kerajaan Selangor berbanding Putrajaya.

“Selangor sudah lama berjaya melaksnakan TAWAS. Malangnya @NajibRazak baru teringat nak lancar ADAM50. Ayuh mari Selangor pimpin Putrajaya.

“Selangor Brain Bank telah saya laksanakan 3 tahun tetapi @NajibRazak baru tadi lancar Malaysian Brain Bank. Selangor terus menjadi model,” tulis Mohamed Azmin di Twitter.

Untuk rekod, ini bukan pertama kalinya dasar berkebajikan di bawah Inisiatif Peduli Rakyat yang diumumkan Dato’ Menteri Besar Selangor ditiru Kerajaan Persekutuan.

Antara lain, pelaksanaan Skim Smart Sewa yang turut sama dilaksanakan di peringkat Persekutuan dalam usaha membantu masyarakat kurang berkemampuan memiliki rumah kediaman sendiri.

Terdahulu, Perdana Menteri Najib Razak membentangkan cadangan Bajet 2018, di Dewan Rakyat petang ini dengan cadangan peruntukan RM280.25 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Categories
NASIONAL

Bajet 2018: Laungan ‘Kleptokrasi’ sambut Najib

 

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 27 OKT : Ungkapan Reformasi dan Kleptokrasi dilaung Ahli Parlimen Pembangkang sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2018, di Parlimen, petang ini.

Sebelumnya, Perdana Menteri yang lengkap berbaju Melayu biru tiba di Dewan Rakyat sekitar jam 3.30 petang bersama pimpinan dan anggota kabinet Persekutuan.

Terdahulu, kleptokrasi merujuk kepada kepimpinan rasuah yang dilakukan pimpinan tertinggi kerajaan.

Istilah berkenaan sinonim dengan pemerintahan negara susulan pendedahan media antarabangsa terhadap skandal kewangan melibatkan Perdana Menteri.

Sementara itu, Reformasi adalah laungan keramat yang sinonim dengan kepimpinan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menuntut sebuah pentadbiran bersih dan telus.

Untuk rekod, Bajet 2018 adalah pengumuman akhir sebelum pembubaran Parlimen dibuat.

Umum menjangkakan, bajet berkenaan bersifat gula-gula pilihanraya bagi menarik sokongan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan.

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Bajet 2018: Jangan pinggir golongan bawah, sederhana

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 OKT: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berharap Bajet 2018 yang bakal dibentangkan, Jumaat ini memberi lebih inisiatif kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) dan bawahan (B40), bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, seperti dijangka, bajet Kerajaan Persekutuan lebih bersifat ‘bajet pilihan raya’ untuk memancing undi, namun menegaskan pengagihan hasil perlu dilakukan secara sistematik.

“Kita memang mengharapkan kerajaan melakukan beberapa pendekatan, terutama dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Kali ini kita mengharapkan golongan M40 juga diberi tumpuan kerana mereka menghadapi masalah sama seperti kumpulan B40.

“Kerajaan boleh menggunakan pendekatan memberi pengurangan cukai pendapatan dan pelepasan cukai bagi golongan tertentu,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, pengumuman Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) paling dinantikan setiap kali pembentangan bajet tetapi beliau mengharapkan pengagihan secara berperingkat itu diberikan dalam bentuk modal supaya rakyat boleh menambah pendapatan isi rumah.

“BR1M perlu diagihkan secara sisitematik. Jika dahulu RM1,200 diberikan secara tiga peringkat, FOMCA berpandangan lebih baik ia diberi dalam bentuk wang tunai dan kupon makanan yang boleh ditebus di kedai tertentu atau simpanan amanah saham.

“Jika dahulunya ada cadangan wang BR1M digunakan membeli kereta Proton Iriz untuk rakyat buat Uber, mungkin bagi tahun hadapan wang itu boleh diberikan menerusi pakej pembelian kendera saji (food truck) supaya mereka boleh berniaga dan menambah pendapatan,” katanya.