Categories
SELANGOR

Belanjawan 2018: Inisiatif baru untuk masyarakat desa, anak muda, wanita

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 22 OKT: Sejajar dengan kemajuan dan kepesatan ekonomi dan pembangunan Selangor, Kerajaan Negeri memberi perhatian dalam usaha membangunkan masyarakat desa, golongan muda dan wanita dalam Belanjawan Selangor 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau akan mengumumkan beberapa inisiatif baru pada pembentangan belanjawan yang diadakan pada 3 November ini.

“Dalam menggubal Belanjawan 2018 kita sedang mencari apa lagi program yang harus kita lakukan. Simpanan kita baik, ekonomi kita kukuh, rizab kita besar tetapi kita mahu kekayaan ini dilimpahkan kepada rakyat khususnya di kawasan desa.

“Pada 3 November ini kita akan mengumumkan beberapa inisiatif baru, program baru dan insentif baru yang memberikan tumpuan pembangunan dan masyarakat desa termasuk anak-anak muda dan memberdayakan wanita-wanita di dalam negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) Daerah Kuala Selangor dan Penyampaian Anugerah Kampung Tradisi Terbaik dan Inovasi Desa Terbaik Negeri Selangor 2017 di Masjid Darussalam, Kampung Bukit Kuching Jeram di sini, malam tadi.

Katanya, Selangor hari ini semakin maju hingga menyebabkan sesetengah kampung turut mengalami perubahan mendadak yang memerlukan tumpuan khusus oleh Kerajaan Negeri.

Beliau bagaimanapun turut menggesa supaya masyarakat desa mempertahankan watak dan jati diri kedesaan yang penuh tradisi.

=EZY=