Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Belanjawan 2018: MB bakal umum bantuan naik taraf maahad tahfiz

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 22 OKT: Percambahan jumlah Maahad Tahfiz di Selangor yang mencecah 226 buah di negeri itu mendorong Kerajaan Negeri memberi perhatian kepada perkembangan institusi ini dalam Belanjawan 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal ini berikutan sebahagian besar Maahad Tahfiz masih berada dalam keadaan tidak memuaskan dan memerlukan pembelaan Kerajaan Negeri.

“Hanya beberapa minggu lepas saya berbincang dengan Pengarah dan pegawai JAIS mengenai perkembangan Maahad Tahfiz di Selangor yang sedang bercambah dengan begitu banyak di mana sudah ada 226 buah Maahad Tahfiz dalam Selangor yang berdaftar. Ada juga yang tak berdaftar.

“Walaupun ini Maahad Tahfiz persendirian tetapi kita bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan anak-anak kita dan warga pendidik dalam Maahad Tahfiz yang sebahagian besarnya dalam keadaan uzur dan memerlukan pembelaan.

“Dalam Belanjawan 2018 ini kita akan mengumumkan beberapa bentuk bantuan bagi menaiktaraf Maahad Tahfiz persendirian di dalam Negeri Selangor ini tetapi pada masa sama saya ingin menyatakan kita ada lebih 16,000 anak-anak warga hufaz di Maahad Tahfiz ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) Daerah Kuala Selangor dan Penyampaian Anugerah Kampung Tradisi Terbaik dan Inovasi Desa Terbaik Negeri Selangor 2017 di Masjid Darussalam, Kampung Bukit Kuching Jeram di sini, malam tadi.

Sementara itu, ketika menyentuh peruntukan bagi pembangunan institusi Islam bagi 2017, Mohamed Azmin memberitahu, Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan hampir RM300 juta merupakan jumlah terbesar setakat ini.

Katanya, institusi Islam seperti masjid merupakan nadi penting bagi usaha membangunkan ketamadunan Islam seperti yang dihasratkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Kita mahu menjadi umat yang kuat, gagah, berilmu, berakhlak, berkemahiran barulah kita dapat bersaing dengan sebuah dunia yang mencabar hari ini,” katanya.

=EZY=