Categories
GLOBAL

Boeing timbang tuntut ganti rugi isu pemalsuan sijil Kobe Steel

TOKYO 13 OKT: Boeing Co, pengeluar pesawat penumpang terbesar dunia, mengesahkan ia menggunakan produk Kobe Steel termasuk produk yang diberikan pensijilan palsu oleh syarikat keluli itu, kata sumber kepada REUTERS.

Boeing belum lagi mengklasifikasikan isu sebagai masalah keselamatan, tegas sumber itu, tetapi pendedahan itu memungkinkan ia mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan kos ganti rugi daripada Kobe Steel yang kini berhadapan skandal berhubung pemalsuan pensijilan berkaitan kekuatan dan ketahanan komponen yang dibekalkan kepada ratusan syarikat lain.

Pengeluar pesawat Amerika Syarikat (AS) itu sedang menjalankan siasatan ke atas pesawatnya bagi mengenal pasti sejauh mana dan jenis komponen Kobe Steel digunakan dalam pesawatnya dan akan berkongsi hasil siasatan dengan pelanggan, kata sumber yang hampir dengan penyiasatan itu.

Sumber itu meminta identiti beliau tidak didedahkan berikutan sensitiviti berhubung isu itu.

Sekiranya komponen yang dipalsukan pensijilan itu tidak memberi kesan kepada keselamatan, Boeing berkemungkinan memilih untuk menggantikannya daripada berhadapan sebarang reaksi dan persepsi negatif berhubung keselamatan daripada orang awam.

Sebarang program berskala besar untuk mengeluarkan komponen terbabit, biar pun sewaktu rutin penyelenggaraan pesawat, akan membabitkan kos yang besar bagi Kobe Steel sekiranya ia harus membayarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kobe Steel, Hiroya Kawasaki, Semalam berkata kredibiliti syarikat itu kini berada di paras “sifar.”

Juga di AS, General Motors berkata, ia sedang menyiasat sama ada kereta yang dikeluarkannya mengandungi komponen bermasalah itu, menyertai Toyota Motor Corp dan kira-kira 200 syarikat lain yang turut menerima komponen pensijilan palsu itu daripada Kobe Steel.

Boeing tidak membeli produk seperti komposit aluminium, yang digunakan dalam pesawatnya, secara langsung daripada Kobe Steel.

Bagaimanapun, pembekal utama Boeing dari Jepun termasuk Mitsubishi Heavy Industries, Kawasaki Heavy Industries dan Subaru Corp, mendapatkan produk itu secara langsung daripada Kobe Steel.

Syarikat terbabit adalah sebahagian daripada rantaian bekalan global Boeing.

=EZY=