Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Bukti Hansard Parlimen isu Interpol Jho Low

Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]:

Terima kasih Tuan Yangdi-Pertua. Saya percaya kerjasama yang dijalin di antara pihak Polis Diraja Malaysia dengan Interpol bukan sahaja menumpukan persoalan gerakan militan ataupun gerakan-gerakan ideologi yang boleh mencetuskan ketegangan agama di rantau ini.

Akan tetapi juga kerjasama yang diwujudkan melibatkan aktiviti ataupun jenayah perdagangan dan juga kewangan di mana pihak Polis Diraja Malaysia boleh mendapatkan bantuan Interpol untuk menahan seseorang dan menyiasat bagi sesuatu kes yang telah banyak dinyatakan.

Saya telah membangkitkan perkara ini beberapa bulan yang lalu, di mana pihak Polis Diraja Malaysia perlu mendapatkan khidmat Interpol untuk locate ataupun mengenal pasti kedudukan Jho Low yang telah disebut dalam banyak laporan di peringkat antarabangsa, di mana beliau terlibat secara langsung dalam jenayah kewangan dan perdagangan.

Persoalan saya ialah di manakah kedudukan PDRM dalam perkara ini? Apakah PDRM akan mendapat bantuan Interpol untuk mengenal pasti kedudukan Jho Low dan mendapat kerjasama daripada pihak Interpol untuk menahan dan membawa balik Jho Low bagi tujuan penyiasatan di atas skandal kewangan yang terbesar dalam negara pada hari ini?

Jadi, saya pohon pandangan daripada Yang Amat Berhormat.

 

Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi:

Walaupun soalan itu tidak kena mengena dengan soalan asal tetapi saya ingin menyebutkan bahawa kerjasama dengan Interpol bukan hanya terjalin erat, malah presiden baru Interpol adalah merupakan Naib Menteri MPS, Vice Minister of Public Security of China.

Mengenai kes itu, kita memang telah mengemukakan permintaan kepada Interpol untuk mencari di manakah orang yang telah dimaksudkan oleh Yang Berhormat Gombak.

Kita amat yakin bahawa pihak Interpol bertindak secara profesional dan PDRM masih belum memperoleh sebarang maklumat terperinci daripada pihak Interpol.

Namun, kita yakin apa yang telah dilakukan oleh beberapa pihak di peringkat antarabangsa, terutamanya agensi perisikan telah dimuktamadkan. Kita yakin kes itu telah tidak lagi relevan kecuali dibangkitkan oleh ahli-ahli politik yang tidak pernah berpuas hati mengenainya.

 

 

SUMBER: HANSARD DEWAN RAKYAT PARLIMEN KETIGA BELAS PENGGAL KELIMA MESYUARAT KETIGA: Isnin, 23 Oktober 2017
Muka Surat: 8