Categories
KENYATAAN MEDIA

Dukung pendirian Raja-Raja Melayu isu perpaduan, keharmonian kaum

OLEH: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

Saya mendukung pendirian tegas Raja-Raja Melayu berhubung isu perpaduan dan hubungan harmoni di kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama serta penegasan mengenai keperluan memahami dan menghormati prinsip-prinsip murni yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutan.

Pendirian Raja-Raja Melayu adalah ibarat cahaya yang menyuluh – memimpin rakyat mendepani cabaran semasa termasuk menjawab tindakan melampau individu dan kumpulan yang mengugat kestabilan dan keharmonian masyarakat majmuk.

Umat Islam dan rakyat Malaysia perlu menjunjung pedoman Raja-Raja Melayu tentang sifat Islam yang toleran, sederhana dan inklusif.

Pedoman Raja-Raja Melayu menzahirkan keutuhan institusi Raja Berperlembagaan dan peranan signifikan Raja-Raja Melayu sebagai suara nurani dan aspirasi rakyat.

Justeru, dengan penuh rasa tawadhu, saya ingin menyatakan bahawa prinsip-prinsip toleransi, kesederhanaan dan keharmonian yang disegarkan dan ditegaskan semula oleh Raja-Raja Melayu akan terus menjadi tiang seri Kerajaan Negeri Selangor.

Atas prinsip ini, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya Negeri Selangor untuk menolak gutter politics, budaya samseng dan fahaman rasis.

Marilah kita bersama membangunkan sebuah bangsa yang gagah, bermaruah, berwibawa dan menghormati nilai-nilai kemanusiaan sejagat.