Categories
PBT SELANGOR

Forum Perdana Hal Ehwal Islam di Shah Alam 28 Oktober

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 OKT: Orang ramai dijemput hadir ke Forum Perdana Hal Ehwal Islam pada 28 Oktober ini, yang menampilkan Imam Muda Asyraf sebagai panel jemputan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, program ilmiah itu bertujuan melahirkan komuniti berilmu, beriman dan bertakwa.

Katanya, ia juga dapat memberi pendedahan dan kesedaran kepada
masyarakat mengenai kepentingan modal insan untuk generasi akan datang.

“Selain itu, hubungan sillaturrahim sesama penduduk juga dapat dieratkan tanpa mengira peringkat umur.

“Ia sekaligus memberikan peluang kepada MBSA mendekati dan menjalinkan kemesraan bersama masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Bertempat di Masjid Al Ikhlas, Seksyen 13, forum berkenaan dijadual bermula tepat jam 9 malam.

Panel jemputan lain termasuk Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Badli Shah Alauddin.

Hadirin juga bakal diperdengarkan dengan alunan bacaan Al-Quran oleh Imam 2 Masjid Al Ikhlas, Ustaz Muawwidz Al-Ansori Dzulkefly.

=EZY=