Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Sindiket menipu orang ramai guna nama dan logo LHDN

SHAH ALAM, 24 OKT: Sejak kebelakangan ini Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) telah mengesan beberapa cubaan untuk menipu orang ramai oleh penyangak kewangan dengan menggunakan nama dan logo LHDNM.

LHDN dalam kenyataan media menyatakan di antara kaedah yang digunakan oleh penyangak kewangan ini ialah:

i. Menghantar e-mel palsu kepada orang ramai memaklumkan mereka mempunyai amaun cukai terlebih bayar yang perlu dipulangkan oleh LHDNM.

Di dalam e-mel palsu tersebut penyangak kewangan ini akan memberikan arahan kepada penerima e-mel agar mendedahkan butiran akaun bank mereka bagi membolehkan transaksi bayaran balik lebihan cukai dibuat oleh LHDNM.

Harap maklum bahawa LHDNM tidak pernah menghantar e-mel kepada pembayar cukai untuk meminta pembayar cukai mendedahkan nombor akaun bank mereka.

Ini kerana maklumat akaun bank tersebut akan diperolehi melalui perisytiharan oleh pembayar cukai ketika mereka mengisi Borang Nyata Cukai Pendapatan pada setiap tahun.

Selain itu, lebihan bayaran balik cukai pendapatan yang berjaya diproses berdasarkan maklumat yang betul juga akan dikreditkan terus oleh LHDNM ke akaun bank pembayar cukai menerusi pembayaran secara Electronic Fund Transfer (EFT) atau menerusi Baucar Bayaran Balik Cukai (BBBC) atau Cek Berpalang atau Telegraphic Transfer (untuk mereka yang mempunyai akaun di luar negara).

ii. Menghantar Surat Tuntutan Cukai Tertunggak yang palsu kepada orang ramai.

LHDNM sememangnya ada mengeluarkan surat peringatan kepada pembayar cukai yang mempunyai amaun cukai tertunggak agar mereka menjelaskan cukai tertunggak tersebut.

Namun demikian, sebelum apa-apa pembayaran dilakukan oleh penerima surat tersebut, sila pastikan surat tersebut adalah benar-benar tulen daripada LHDNM dan bukannya daripada penyangak kewangan.

Pengesahan ketulenan surat tunggakan cukai boleh dibuat melalui Talian Hasil Careline di 1-800-88-5436 atau Talian Hasil Recovery Call Centre di 1-800-88-4726 atau nombor talian Cawangan LHDNM yang mengeluarkan surat tersebut (ada pada kepala surat).

Selain itu, apa-apa bayaran cukai pendapatan juga mesti dibuat atas nama Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri atau Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.

Sekiranya surat yang diterima memberikan arahan untuk membuat bayaran cukai pendapatan kepada penama selain daripada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri atau Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, penerima surat itu boleh mengabaikan arahan dalam surat tersebut dan seterusnya membuat aduan kepada LHDNM.

iii. Pegawai LHDNM palsu mengunjungi premis pembayar cukai dan memaksa pembayar cukai membayar cukai tertunggak.

LHDNM tidak mengamalkan kaedah mengunjungi premis pembayar cukai bagi mengutip cukai tertunggak secara tunai.

Kunjungan ke premis pembayar cukai jika ada akan dilakukan melalui operasi secara berkala seperti Operasi KUTiP dan kaedah kutipan cukai tertunggak yang dilakukan adalah hanya melalui Cek atau Draf Bank atas nama Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri atau Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.
Pembayar cukai yang dilawati juga disarankan agar memeriksa kad pengenalan diri dan merekodkan butiran pegawai LHDNM yang hadir ke premis mereka.

Selain itu, pembayar cukai juga boleh mendapatkan penjelasan mengenai peruntukan undang-undang yang digunapakai berkaitan dengan lawatan tersebut, merekodkan nama serta nombor perhubungan penyelia yang menyelia pegawai tersebut serta menghubungi talian Hasil Careline di 1-800-88-5436 untuk pengesahan.

Orang ramai khususnya pembayar cukai diminta untuk sentiasa berwaspada dan mendapatkan pengesahan segera daripada LHDNM bagi sebarang keraguan yang timbul mengenai perihal cukai pendapatan mereka untuk mengelakkan kerugian kewangan.

Selain daripada menghubungi Hasil Careline, pembayar cukai juga boleh melaporkan aduan kepada e-mel [email protected].

Sila klik di sini untuk “Sampel e-mel dan dokumen palsu (scam)”
http://mrem.bernama.com/mrembm/pdf/lHDNM(10510).pdf

SUMBER : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)