Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

152 lagi pelajar ditaja jalani latihan TVET

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 31 OKT: Seramai 152 pelajar bertuah apabila menerima tajaan mengikuti program Kemahiran Teknikal Negeri Selangor bagi sesi April, Julai dan Oktober 2017, di Kolej Antarabangsa Inpens (Inpens).

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, kesemua mereka menerima pembiayaan penuh oleh Kerajaan Negeri dengan peruntukan RM927,000.

Katanya, ia merupakan sebahagian daripada RM5 juta khusus bagi menaja anak Selangor menjalani latihan intensif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di institusi itu.

“Kita bukan sahaja menaja yuran pengajian tetapi juga merangkumi penginapan asrama, makanan dan RM150 elaun perbelanjaan setiap bulan untuk setiap pelajar.

“Ini adalah komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkasa anak Selangor dengan ilmu dan kemahiran bagi menghadapi gelombang Revolusi Industri 4.0,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Majlis Sambutan Deepavali Inpens, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Inpens, Ahmad Zabri Mohd Yaman dan Penolong Pengarah Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Selangor, Siti Sarah Abu Samah.

Terdahulu, Kerajaan Negeri turut menaja 311 pelajar bagi kemasukan sesi Januari 2017, menjadikan jumlah keseluruhan pelajar tajaan seramai 463 dengan peruntukan hampir RM5 juta.

Inpens merupakan singkatan kepada Institusi Pendidikan Negeri Selangor dan merupakan naungan Kerajaan Negeri menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

=EZY=