Categories
PBT SELANGOR

Hari Bertemu Pelanggan medan dekati masyarakat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 OKT: Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai ke program Hari Bertemu Pelanggan (HBP) sempena Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-17, hujung minggu ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, ia merupakan sebahagian usaha Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk mendekati warga kota itu secara terus.

Katanya, ia juga memberi peluang kepada orang ramai dan pihak berkepentingan (stakeholder) untuk menyalurkan aduan, komen dan saranan.

“HBP juga merupakan komitmen berterusan MBSA mempertingkatkan serta memperbaiki sistem penyampaian komuniti setempat.

“Ia berperanan memberi ruang kepada jabatan, bahagian mahupun Pejabat Cawangan MBSA untuk mempromosikan perkhidmatan kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan.

Bertempat di SACC Mall, program bakal berlangsung pada 21 Oktober
2017 (Sabtu) selama 12 jam, mulai jam 10 pagi hingga 10 malam.

Orang ramai turut berpeluang melakukan penyemakan dan pembayaran cukai taksiran, penyemakan dan pembayaran kompaun khususnya kompaun trafik, semakan aduan, permohonan ubahsuai premis dan sebagainya.

Shahrin berkata, HBP MBSA itu juga bakal menyaksikan pelancaran Aplikasi i-ADU iaitu kaedah penyaluran aduan ebih menyeluruh.

Katanya, ia membolehkan proses membuat aduan, semakan aduan, penerimaan maklum balas dan penilaian tahap kepuasan penyelesaian aduan dilaksanakan di dalam talian.

“Melalui Aplikasi i-Adu, aduan boleh dilaporkan secara 24 jam bertujuan untuk memudahkan orang awam membuat aduan,” katanya.

=EZY=