Categories
SELANGOR SENI

Pameran sentuhan ‘Expressionizam’ di PPAS

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 OKT: Kehalusan seni abstrak sentuhan pelukis Mohd Nizam Radzaly dalam mempamerkan emosi diterjemahkan menerusi pemilihan warna menceritakan 1,001 kisah kehidupan tersirat.

Ekspresi ditonjolkan pada 40 hasil karya lukisan dipamerkan di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Shah Alam kepada umum seolah-olah menghembuskan satu bentuk aura dinamik bagi penggemar seni lukisan.

Walaupun terkenal dengan konsep seni abstrak expressionisme, beliau lebih gemar menjadikan konsep alam sekitar dalam karyanya sebagai interpretasi dalaman jiwa.

“Hasil ini diharapkan dapat dihayati dalam bentuk warna sebagai sentuhan terapi dan difahami secara abstrak.

“Saya menjadikan pemandangan sebagai seni yang diterjemahkan kepada simbol dengan pemilihan warna dan pergerakkan berus terkawal.

“Menerusi gambar yang dimuatnaik ke facebook, saya garap menjadi sebuah lukisan,” katanya.

Menurut pelukis berusi 51 tahun yang mula berkecimpung dalam bidang seni lukis pada 1986 bersama Angkatan Pelukis Semenanjung (APS), beliau mengambil masa sekitar empat jam bagi menyiapkan lukisan berukuran 18×18 dan mampu berkaya di atas lima kanvas semunggu.

Beliau pernah membuat dua pameran solo terdahulu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Perpustakaan Syed Mashor, Kuala Kubu Baru sebelum meneruskan Pameran Ekspresi Warna dan Jiwa di PPAS, Shah Alam.

Bertugas sebagai Pembantu Pustakawan, beberapa karya beliau pernah menarik perhatian beberapa tokoh termasuk lukisan Masjid Sesapan Batu Rembau, Beranang yang dipersembahkan kepada DYTM Sultan Selangor.

Dalam perkembangan sama beliau turut menggalakkan golongan belia menceburi bidang seni lukisan.

“Untuk peringkat permulaan, kita kena tengok bajet. Tidak dinafikan barangan seni lukis ini mahal.

“Tetapi mereka boleh gunakan medium mudah seperti cat poster. Paling penting ada warna asas kuning, biru dan merah,” katanya.

Menurutnya, bakat melukis dalam dirinya turut diwarisi anak sulung, Hani Damira yang kini menuntut dalam pengajian Asasi Seni Kreatif di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Bercerita mengenai Pameran Ekspresi Warna dan Jiwa, lukisan yang dipamerkan turur dijual sekitar harga RM500 hingga RM3,000.

Majlis perasmian disempurnakan Setiausaha Kanan, Exco Pendidikan, Pembangunan Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Abbas Awang yang mewakili Exco Nik Nazmi Nik Ahmad semalam.

=EZY=