Categories
NASIONAL

IDE mula inisiatif lahirkan model politik rentas kaum, agama

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 OKT: Institut Darul Ehsan (IDE) berhasrat memperkenalkan model politik lebih inklusif merentasi kaum dan agama serta bersifat moderat.

Pengarah Strategi dan Pembangunan Masyarakat, Dato’ Saifuddin Abdullah berkata, IDE memulakan usaha itu menerusi dua inisiatif utama yang saling melengkapi di antara satu sama lain.

Katanya, ia termasuk usaha melahirkan ‘Fiqh Hidup Bersama dengan Aman’ dan ‘Pemikiran Politik Berbilang Kaum dan Moderat’.

dato saifuddin abdullah -markshort 2“Inisiatif pertama itu meliputi usaha menangani isu sesama umat Islam yang tidak berselisih pandangan dan Islam dengan bukan Islam.

“Inisiatif kedua merupakan usaha kita melahirkan teori atau model politik berbilang kaum dan agama.

“Kita akui ia bukan mudah dan mengambil masa tetapi sekurangnya IDE mahu mempromosikan amalan politik rentas kaum dan agama supaya rakyat boleh hidup bersatu padu dengan aman dan harmoni,” katanya.

Terdahulu, beliau bertindak sebagai moderatot di Sidang Meja Bulat (SMB) ‘Pemikiran Politik Berbilang-kaum dan Moderat’, di Dewan Auditorium IDE, di sini, hari ini.

SMB itu menampilkan ahli akademik daripada Universiti Teknologi Nanyang, Dr Johan Saravanamuttu dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Institute, Datuk Dr Ooi Kee Beng membentangkan ucap utama.

Turut serta, Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Rawa dan Ahli Lembaga Pengarah IDE, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin.