Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jamal biadap, tiada etika

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 6 OKT: Tindakan Datuk Seri Jamal Md Yunus memecahkan botol minuman keras di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri disifatkan biadap dan tidak sopan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan ala samseng Pengerusi NGO Malaysia itu merosakkan harta awam bertentangan dengan amalan demokrasi.

Katanya, demonstrasi sememangnya hak setiap rakyat tetapi ia perlu dianjurkan secara aman dan mematuhi etika ditetapkan pihak berkuasa.

“Pakatan menganjurkan demonstrasi kerana itu hak rakyat untuk berhimpun tetapi kita sama sekali tidak boleh terima jika individu atau kumpulan menggunakan cara samseng seperti ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui sejurus menyempurnakan Majlis Penyerahan Notis 5A dan Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat, di sini, hari ini.

jamal-arak-2-746060Mohamed Azmin berkata, beliau percaya polis akan meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Jamal yang juga Ketua Umno Sungai Besar.

“Saya difahamkan kertas siasatan sudah dibuka, maka kita serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Namun untuk persepsi umum, tindakan Jamal itu sama sekali biadap dan tidak sopan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, pihaknya menahan Jamal dan tujuh individu lain selepas menerima laporan kejadian daripada pengawal keselamatan.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai perhimpunan haram dan dibaca bersama Seksyen 268 Kanun Kesiksaan kerana menyebabkan kemudaratan awam ekoran tingkah laku dilakukan peserta perhimpunan.