Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kampung Ijok bawa pulang RM70,000 dinobat Kampung Tradisi Terbaik Selangor 2017

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 22 OKT: Kampung Ijok, Kuala Selangor berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM70,000 selepas dinobatkan sebagai Kampung Tradisi Terbaik Negeri Selangor 2017.

Pertandingan melibatkan kampung-kampung tradisi seluruh Selangor itu turut menyaksikan Kampung Sijangkang, Kuala Langat memenangi tempat kedua dengan diikuti di tempat ketiga, Kampung Parit 7 Baroh, Sabak Bernam dengan masing-masing menggondol hadiah wang tunai RM15,000 dan RM10,000.

Sementara itu, Kampung Sungai Buah Sepang pula turut meraih hadiah wang tunai RM50,000 apabila menjuarai kategori Inovasi Desa Terbaik Negeri Selangor 2017.

Hadiah disampaikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada Majlis Perasmian Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) Daerah Kuala Selangor dan Penyampaian Anugerah Kampung Tradisi Terbaik dan Inovasi Desa Terbaik Negeri Selangor 2017 di Masjid Darussalam, Kampung Bukit Kuching Jeram di sini, malam tadi.

Sebelum itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata, program 3K bagi peringkat Daerah Kuala Selangor merupakan program 3K terakhir bagi tahun ini.

“Sejak kali pertama program ini diadakan pada 2015 lalu, program ini berjaya meliputi 27 Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam sembilan daerah di Selangor.

“Bagi tahun ini sahaja Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM630,000 di mana setiap program membelanjakan RM70,000,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Jelasnya, program 3K diadakan berdasarkan tema seperti yang dititahkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Selain itu, program ini juga merupakan satu usaha untuk merakyatkan jabatan-jabatan berkaitan agama Islam di Selangor dengan masyarakat desa.

=EZY=