Categories
GLOBAL

Sepanyol gantung kerajaan Catalonia

MADRID 21 OKT: Kerajaan Sepanyol mengumumkan menggantung kerajaan pemisah Catalonia dan mengadakan pilihan raya baharu di wilayah itu dalam usaha menghalang pemimpinnya daripada mengisytiharkan kemerdekaan.

Bercakap selepas mesyuarat tergempar Kabinet, Perdana Menteri, Mariano Rajoy, berkata kerajaannya tidak mempunyai pilihan selepas kerajaan pemisah bertindak secara sebelah pihak, melanggar undang-undang dan mahukan konfrontasi dengan mengadakan pungutan suara kemerdekaan yang diharamkan, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Kerajaan persekutuan Sepanyol menyatakan semalam bahawa ia akan memansuhkan kuasa autonomi Catalonia dan melaksanakan pemerintahan secara langsung selepas pemimpin wilayah berkenaan mengugut akan meneruskan pengisytiharan kemerdekaan sekiranya Madrid enggan berunding.

Dalam keputusan di luar jangkaan sejak sistem demokrasi pulih di Sepanyol pada penghujung 1970-an, Perdana Menteri Mariano Rajoy berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat khas Kabinet esok bagi meneruskan langkah tersebut.

Parti pembangkang Sepanyol, Parti Sosialis memberitahu, ia menyokong keputusan kerajaan tetapi mencadangkan supaya skop dan masa tindakan tersebut dihadkan, lapor REUTERS.

Presiden Catalonia, Carles Puigdemont gagal mematuhi tarikh akhir pukul 10 pagi semalam untuk menggugurkan kempen kemerdekaan wilayah berkenaan.

Beliau sebaliknya mengugut Rajoy dengan perisytiharan kemerdekaan rasmi di Parlimen Catalonia.

Kenyataan Rajoy dan Puigdemont meningkatkan ketidaktentuan berhubung kemelut politik itu yang berlanjutan lebih sebulan. Krisis Catalonia juga dikhuatiri mencetuskan kekacauan dan menjejaskan mata wang Euro.

“Sekiranya Madrid terus menghalang rundingan dan meneruskan tekanan, Parlimen Catalonia boleh memilih untuk meneruskan pengisytiharan kemerdekaan,” kata Puigdemont dalam suratnya kepada Rajoy.

Sekiranya Rajoy mengaktifkan Artikel 155 di bawah perlembagaan tahun 1978 yang membenarkan beliau mengambil alih Catalonia, perintah itu hanya boleh dikuatkuasakan seawal minggu depan kerana memerlukan kelulusan Parlimen Sepanyol.

Masa itu boleh digunakan Puigdemont untuk mengisytiharkan kemerdekaan Catalonia secara unilateral.

=EZY=