Categories
NASIONAL

Kes kematian TLDM: Jenazah Muhammad Lailatulman dituntut keluarga

IPOH 1 OKT: Jenazah seorang lagi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laskar Kelas 1 Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26 yang meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Komunikasi Sungai Wangi, Sitiawan dekat sini kelmarin dituntut ahli keluarga pada jam 12.50 tengah malam tadi.

BH ONLINE melaporkan Mayat Muhammad Lailatulman mula menjalani proses bedah siasat pada jam 9 malam dan berakhir kira-kira empat jam kemudian.

Jenazah Allahyarham dituntut isterinya, Nur Liya Asmira Yahya, 24, serta beberapa ahli keluarga lain selepas dimandikan dan disembahyangkan di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Abang ipar mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui hanya mengangguk ketika ditanya mengenai kematian Allahyarham berpunca daripada pendarahan pada paru-paru sebagaimana dialami seorang lagi mangsa, Laskar Muda Kelas 1, Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28.

Jenazah Muhammad Lailatulman akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang, Kelantan.

=EZY=