Categories
NASIONAL

Hujan renyai iringi pengebumian anggota TLDM

KOTA BHARU 1 OKT: Suasana pilu di Tanah Perkuburan Limbat, di sini, ketika jenazah Laskar Kelas 1, Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, yang meninggal dunia selepas menjalani latihan fizikal di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, Ipoh, kelmarin, dikebumikan jam 5.50 pagi tadi.

Hujan renyai mengiringi pengebumian Muhammad Baihaqy yang disaksikan kira-kira 200 ahli keluarga, pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham, lapor BH ONLINE.

Pengebumian Allahyarham Nik Muhammad Baihaqy dilakukan mengikut istiadat tentera, turut disaksikan Panglima Udara TLDM mewakili Panglima TLDM, Laksamana Pertama, Datuk Alias Baharuddin.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di kediaman keluarganya di Kampung Binjai, di sini dengan van jenazah TLDM kira-kira jam 4 pagi tadi, yang kemudiannya disembahyangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Sebelum itu, jenazah Nik Muhammad Baihaqy meninggalkan perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada jam 10 malam tadi selepas mengambil masa kira-kira lima jam proses bedah siasat.

Allahyarham Nik Muhammad Baihaqy meninggalkan seorang balu, Noor Bazlin Mohammad, 28, dan tiga anak berusia 10 bulan hingga empat tahun.

Polis awal pagi ini mengumumkan siasatan kes kematian dalam tahanan dua anggota TLDM termasuk Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, daripada kematian mengejut (SDR) kepada kes bunuh.

=EZY=