Categories
SELANGOR

KKM dicadang beri PBT kuasa pantau denggi

 

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dicadang membenarkan Pihak Berkuasa Tempatan, di Selangor diberi kuasa menjalankan pemantauan denggi, di kawasan dalam kediaman.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keperluan itu dilaksana bagi membolehkan anggota PBT mengambil tindakan terhadap pemilik kediaman yang gagal membersihkan habitat Aedes.

“Sebahagian besar kes denggi berlaku ekoran masalah pembersihan dari dalam kediaman dan ia menyukarkan PBT untuk ambil tindakan kerana mereka tidak mempunyai kuasa.

“Saya berbincang dengan Menteri Kesihatan bagaimana dapat diperluaskan kuasa supaya PBT boleh jalankan pemeriksaanm di kawasan kediaman.

“Untuk tempoh kini, tanggungjawab menjalankan pemantauan dari dalam rumah hanya diberikan kepada pegawai dilantik kementerian kesihatan sahaja,” katanya.

Mohamed Azmin bercakap kepada pemberita, pada Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) di Laman PKNS, Shah Alam, pagi ini.

Terdahulu, sumber daripada Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan CPRC, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan Selangor mencatatkan 40,722 kes denggi sehingga 30 Oktober lalu.

Ia diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 7,042 kes dan Johor 6,856 kes.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri konsisten memastikan masalah denggi diatasi menerusi pelan berterusan, di peringkat agensi terbabit.

“Kita sentiasa mengambil langkah proaktif termasuk mengenakan tindakan keras terhadap individu, pemaju atau pemilik kediaman yang gagal menjalankan tugas pembersihan tapak,” katanya.