Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Kolaborasi UNISEL-Dharma Andalas lahir graduan berkualiti

OLEH AFEEQA AFEERA

PADANG, 15 OKT: Gandingan antara universiti tidak kira tempatan mahupun antarabangsa diperlukan bagi memastikan kualiti pendidikan dalam kalangan pelajar berada pada tahap terbaik.

Rektor Universitas Dharma Andalas, Dr Rahmi Fahmy berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi kerjasama dengan Universiti Selangor (UNISEL) bagi mempersiapkan pelajar terhadap dunia kerja yang semakin mencabar, hari ini.

“Populasi rakyat Indonesia tinggi dan mencari kerja semakin sukar hari ini, justeru kita harus mempersiapkan pelajar dengan pendidikan berkualiti.

“Itulah kepentingan kolaborasi kerana cabaran pada masa hadapan memerlukan standard tinggi dan kita perlu mengenal pasti kemahiran yang ada untuk memastikan skop kerja itu lebih meluas.

“Kita sentiasa komited memperbaikinya (ke arah lebih baik),” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Persidangan Tahunan Ekonomi, Perniagaan, Perakaunan dan Sains Sosial (ACEBASS), di Aula Bank Indonesia, di sini.

Pada masa sama, beliau turut menghargai usaha UNISEL menjalinkan kerjasama menerusi program pertukaran pelajar, pengajuran seminar termasuk perkongsian idea juga kajian.

“Saya berpandangan kolaborasi ini sangat bagus dan menjadi salah satu cara untuk pelajar menjadi kompetetif berdepan saingan hari ini.

“Diharapkan kerjasama ini terus berlanjutan membabitkan komitmen pelajar, pensyarah juga universiti untuk meluaskan wawasan kita supaya menjadi lebih baik,” katanya.