Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia 10 negara bebas rasuah, jika PAKATAN tadbir Putrajaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 15 OKT : Pakatan Harapan bertekad menjadikan Malaysia sebagai 10 negara paling bersih daripada amalan rasuah dan penyelewengan menjelang 2030.

Iltizam itu dinyatakan Pengerusi Gabungan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya kepimpinan negara beralih kepada pucuk pimpinan Pakatan Harapan.

“Pakatan Harapan berikhtiar untuk membersihkan Malaysia dari najis rasuah, bermula dari pimpinan tertinggi kerajaan.

“Kami bertekad untuk menjadikan Malaysia antara 10 negara paling bersih mengikut Indeks Persepsi RasuahTransparency International menjelang tahun 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada himpunan anjuran Pakatan Harapan (HARAPAN) berlangsung malam tadi dengan mengambil slogan antikleptokrasi – Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi – bertempat di Padang Timur, Petaling Jaya.

Tun Mahathir berkata, sekiranya Pakatan Harapan berjaya mentadbir negara, gabungan itu juga akan melaksanakan agenda anti rasuah, dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya.

Lima tindakan itu adalah :

1. Menangkap MO1 dan “ikan-ikan jerung” lain.

2. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) terhadap penyelewengan wang rakyat melalui 1MDB dan FELDA.

3. Menubuhkan sebuah badan bebas yang akan berusaha mengembalikan aset dan wang rakyat yang telah dicuri atau diseleweng melalui rasuah.

4. Menjadikan SPRM sebuah badan bebas yang melapor terus kepada Parlimen.

5. Menghapuskan amalan runding terus (direct nego) untuk semua kontrak kerajaan.

=EZY=