Categories
NASIONAL

KOMENTAR: Bonus di tangan kanan, air ikan dan penyapu tangan kiri

OLEH NAZLI IBRAHIM

BERCAKAP tentang bonus, suka atau tidak, penjawat awam Kerajaan Persekutuan terpaksa berpuas hati walaupun bonus diumumkan bukan sahaja tidak menyamai dengan apa yang diterima rakan mereka di Selangor, bahkan impian bonus satu setengah bulan seperti dituntut Cuepecs juga tidak kesampaian.

Walaupun mereka tidak menikmati bonus dua bulan gaji, namun kebanyakkan penjawat awam tentunya tetap bersyukur kerana setidak-tidaknya langkah Kerajaan Selangor memberi ‘dua bonus bulan gaji’ sebelum itu turut mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menaikkan pemberian ‘bonus’ daripada RM500 pada tahun-tahun sudah kepada RM1,500 kali ini dengan dua kali bayaran.

Rata-rata penjawat awam tentunya sedar, penghargaan Umno-Barisan Nasional (BN) kepada mereka tidaklah seikhlas mana tetapi hanya hadir dengan pakej tatkala kedudukan Umno-BN pada masa ini bagaikan telur di hujung tanduk untuk turun ke gelanggang pilihan raya yang akan diadakan tidak berapa lama lagi.

Masakan tidak, sikap Umno memandang rendah terhadap penjawat awam boleh dilihat apabila Datuk Seri Jamal Yunos yang kononnya pendekar Umno baru-baru ini mengugut penjawat awam dengan memandikan air ikan terhadap penjawat awam yang hanya menjalankan tugas. Sungguh menjijikkan!

Sikap memandang rendah penjawat awam di kalangan pemimpin Umno ini, bukanlah sesuatu yang baru, Menteri Besar daripada Umno, Dr Khir Toyo ketika menguasai Selangor dengan angkuh pernah menghadiahkan penyapu – juga kepada penjawat awam. Satu penghinaan!

Selain itu, bukanlah suatu rahsia, sejak dahulu lagi Umno-BN memperlecehkan daya berfikir penjawat awam dengan menentukan parti politik mana yang patut disokong mereka. Jika enggan, bersedialah terima surat pertukaran dan silap hari bulan kenaikkan pangkat turut terbantut. Satu pencabulan hak!

Tidak cukup itu, tenaga penjawat awam juga dikerah tanpa kerelaan untuk menjayakan program berbaur politik sama ada sebagai jentera program mahupun sebagai pak pacak yang sekadar memenuhi kerusi-kerusi kosong. Dijadikan alat!

Disebalik bersyukur kerana mendapat bonus RM1,500 seperti yang dijanjikan, namun sebagai rakyat yang waras, para penjawat awam seluruh negara sudah tentunya tidak mahu lagi perkara seperti ini berterusan.

Kalau tidak kerana bonus dua bulan gaji sekalipun, setidak-tidaknya pilihanlah kerajaan yang tahu meletakkan harga diri penjawat awam di tempat yang sepatutnya seperti yang ditunjukkan Kerajaan Selangor hari ini.

Ianya masih belum terlambat. Jangan berputus asa, (Pakatan) Harapan tetap ada!

=EZY=