Categories
NASIONAL

Bajet Najib ‘Gendang Perang PRU14’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2018 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak petang tadi jelas bertujuan menarik undi rakyat semata-mata, kata Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin.

Katanya, pengumuman bajet berkenaan sebagai pentanda awal bahawa Pilihan Raya Umum (PRU14) akan diadakan dalam tempoh terdekat.

“Kita tidak lihat suatu usaha bersungguh-sungguh daripada Kerajaan Persekutuan untuk mengangkat ekonomi masyarakat khususnya golongan muda.

“Perdana Menteri mendakwa bajet ini bersifat realistik, namun pada saya ini adalah belanjawan untuk menarik sokongan yang semakin kritikal kepada kerajaan kini.

“Kita sudah nampak berlakunya trend itu, dan ramai yang beranggapan ini sebagai bajet pilihanraya, namun tidak lupa ini sebenarnya bajet gendang perang pilihanraya oleh Perdana Menteri,” katanya.

Ahli Parlimen Bukit Katil itu bercakap kepada pemberita di Lobi Parlimen, selepas pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, di Dewan Rakyat.

Pada masa sama kata Shamsul, dasar Transformasi 2050 (TN50) Perdana Menteri yang turut dinyatakan dalam Bajet 2018 dilihat gagal memacu kepada pertumbuhan ekonomi pada landasan terbaik.

Katanya, pelaksanaan dasar itu masih memerlukan tumpuan secara menyeluruh dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi rakyat.

“Saya teliti soal TN50 yang dihurai Perdana Menteri secara panjang lebar. Kebimbangan saya seperti yang dinyakatan mengikut pakar ekonomi, Dr Mohammad Khalid.

“Beliau menjangkakan 2050 negara akan berhadapan dengan rakyat yang miskin, justeru inilah kelemahan utama yang menyaksikan kegagalan bajet kali ini,” katanya.