Categories
SELANGOR

Lebar bantuan fertigasi pelihara tanah terbiar

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 OKT: Kerajaan Negeri bercadang melebarkan bantuan kepada pengusaha pertanian berasaskan teknologi fertigasi bagi memulih dan memanfaatkan tanah terbiar dan kurang subur.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, usaha terbabit semakin memberangsangkan, namun memerlukan dana tambahan untuk memaksimumkan hasil.

“Saya amat tertarik dengan usaha dijalankan anak muda di daerah Sabak Bernam yang terbabit dengan teknologi fertigasi dan bercadang untuk berbincang dengan Perbendaharaan Negeri serta Unit Perancang Ekonomi Negeri dalam merangka Belanjawan 2018.

“Kita akan lihat kemampuan negeri dan kaedah terbaik melebarkan lagi usaha ini dengan membabitkan anak muda dalam teknologi fertigasi,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan penyerahan ‘mock cheque’ berjumlah hampir RM155,000 kepada lima Peserta Projek Fertigasi, Jabatan Pertanian Selangor, di sini, hari ini.

AZMINSejurus majlis, Mohamed Azmin kemudiannya meluangkan masa menziarah dan menyampaikan sumbangan kepada dua Veteran Kurang Upaya (VKU) Angkatan Tentera Malaysia; Ba’at Mat dan Abu Bakar Abdul Manan.

Katanya, ia merupakan tradisi Kerajaan Negeri menyantuni bekas perajurit negara, pada setiap program turun padang sejak dua tahun lalu.

“Memandangkan kebanyakan mereka memilih untuk menetap di Selangor selepas persaraan, kita bercadang untuk mengembangkan usaha ini.

“Kita akan lihat bagaimana dapat membantu menjaga kebajikan anggota polis dan tentera yang berjuang mempertahan keamanan serta keselamatan negara,” katanya.