Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Premium tanah, diskaun terhebat Kerajaan Negeri

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 6 OKT: Formula kadar premium terendah bagi penerima Notis 5A hanya boleh diperolehi di Selangor, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, setiap penerima hanya perlu menjelaskan kadar premium nominal RM1,000 berbanding nilai premium semasa yang mampu mencecah hingga ratusan ribu ringgit bagi tanah pertanian.

Katanya, penerima bagaimanapun dikenakan syarat untuk tidak menjual kepada pihak ketiga dan memastikan tanah terjaga rapi sama ada bagi tujuan kediaman mahupun pertanian.

AZMIN ALI (1)“Sebagai contoh, nilai premium semasa bagi tanah di sini yang berstatus rezab Melayu adalah RM68,000 bagi 1,000 meter persegi, sementara tanah pertanian pula sehingga RM80,000 seekar.

“Namun kita sedar ia tinggi buat rakyat, maka Kerajaan Negeri tetapkan setiap permohonan hanya perlu membayar premium RM1,000.

“Ini adalah diskaun terbesar, mana nak dapat tawaran sebegini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Notis 5A dan Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), di Dewan Kampung Hala Cara Baru, di sini, hari ini.

Majlis menyaksikan seramai 48 penduduk Kampung Hala Cara Baru dan empat penduduk Kampung Belia 2 ditawarkan Notis 5A selepas penantian puluhan tahun.

Mohamed Azmin berkata, nilai premium semasa bagi tanah di kawasan berkenaan adalah RM68 semeter persegi dan sehingga RM80,000 bagi seekar untuk tanah pertanian.

“Namun Kanun Tanah Negeri Selangor tetapkan pada kadar RM8.42 bagi semeter persegi dan RM200 sahaja seekar untuk pertanian.

“Walaupun sudah rendah, kita tawarkan kadar nominal agar rakyat tidak terbeban,” katanya.

Majlis turut menyaksikan 78 peserta Hijrah menerima skim pinjaman mikro kredit itu dengan jumlah keseluruhan RM592,000.

Sumbangan IPR lain termasuk bantuan Food Stamp dan Bantuan Rumah Prihatin.