Categories
AGAMA SELANGOR

Lima institusi agama Sabak Bernam terima sumbangan RM205,000

OLEH NAZLI IBRAHIM

SABAK BERNAM, 7 OKT: Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan pembangunan institusi agama di negeri itu menyedari institusi terbabit merupakan elemen terpenting membina masyarakat berilmu dan berakhlak.

Antara langkah diambil termasuklah menghulurkan sumbangan supaya institusi terbabit terus dapat diimarahkan masyarakat setempat.

Pada program turun padang di Sabak Bernam semalam, sebanyak lima buah institusi agama daerah terbabit menerima sumbangan bernilai RM205,000 daripada Kerajaan Negeri yang disampaikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Penerima sumbangan terbabit adalah Masjid Sultan Mohamad Shah yang menerima sumbangan sebanyak RM50,000 bagi tujuan membiayai kos baik pulih masjid dan Masjid Al Abrar sebanyak RM40,000 bagi membiayai kos membaikpulih bumbung masjid.

Sementara itu, Surau Parit 4 pula menerima sumbangan sebanyak RM30,000 untuk menaiktaraf surau dan Surau Al-Taufik pula sebanyak RM50,000 bagi tujuan pembangunan surau.

Manakala Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Agama Bagan Terap menerima sumbangan sebanyak RM15,000 untuk menaiktaraf surau dan RM20,000 lagi untuk membiayai kos baikpulih bangunan sekolah.

Majlis penyampaian sumbangan itu diadakan di Masjid Nurul Falah, Tali Air 7 Sungai Leman.

=EZY=