Categories
SELANGOR

Tiada istilah belanjawan pilihan raya di Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

TANJONG KARANG, 7 OKT: Tiada istilah belanjawan pilihan raya di Selangor seperti amalan Kerajaan Persekutuan tetapi sebaliknya Kerajaan Negeri sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaannya setiap masa dalam merangka belanjawan tahunannya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata sama seperti tahun sebelumnya, pada November nanti beliau sekali lagi membentangkan belanjawan peduli rakyat bagi memastikan kesejahteraan rakyat di negeri itu dapat diteruskan.

“Di Selangor tiada istilah belanjawan pilihan raya tetapi yang ada hanyalah belanjawan peduli rakyat seperti tahun-tahun sebelum ini,” katanya kepada SelangorKini pada Majlis Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat dan Ramah Mesra Bersama YAB Dato’ Menteri Besar Selangor di Masjid Al-Munawarah, Sawah Sempadan di sini, semalam.

RAKYAT SELANGORSebelum itu ketika menyampaikan ucapan di hadapan lebih 500 penduduk di majlis sama, Mohamed Azmin berkata, barisan exco dan pegawai tinggi Kerajaan Negeri berusaha memahami denyut nadi rakyat terbanyak dengan mengadakan program turun ke padang.

“Mana mungkin pemimpin bangsawan memahami kesusahan yang ditanggung rakyat,” katanya.

Terdahulu, Belanjawan Selangor sering menjadi perhatian penganalisis ekonomi dan rakyat dalam dan luar Selangor ekoran pelbagai inisiatif disediakan untuk rakyatnya.

Selain itu, sering terdapat elemen kejutan dalam Belanjawan Selangor apabila kerap menampilkan idea segar yang kemudiannya menjadi ikutan Kerajaan Persekutuan dan negeri lain.

=EZY=