Categories
SELANGOR

MBPJ kendali PPR Taman Putra Damai sepenuhnya, bukan KPKT

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 10 OKT: Penyelenggaraan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Damai, Lembah Subang, masih di bawah Kerajaan Negeri dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dipertanggungjawabkan mengendalikan segala urusan berkaitannya.

Sehubungan itu, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, menafikan dakwaan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengambilalih pengurusannya.

Malah beliau mempersoalkan tindakan KPKT membuka pejabat di kawasan itu kerana semua kerja pengurusan dan penyelenggaraan dijalankan MBPJ sepenuhnya.

“Apa penyelenggaraan dibuat KPKT?

“KPKT ada pejabat di situ tetapi saya tidak tahu (apa fungsinya), kena tanya menteri (Tan Sri Noh Omar),” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, MBPJ menempatkan pegawai dan kakitangannya di kawasan itu bagi menjalankan kerja penyelenggaraan termasuk pengurusan sampah.

“Pejabat MBPJ juga beroperasi di situ dan Ahli Majlisnya turut menjalankan aktiviti komuniti,” katanya.

=EZY=