Categories
SELANGOR

ADN BN tarik balik saman pemula

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan menarik balik saman pemula terhadap Dewan Negeri Selangor (DNS), Speaker DNS dan Setiausaha Dewan merangkap Setiausaha Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Speaker DNS, Hannah Yeoh berkata, penarikan balik saman pemula itu jelas menunjukkan bahawa Speaker dan DNS tidak boleh tertakluk kepada apa-apa prosiding sivil atau jenayah di mahkamah undang-undang.

Katanya, kesahihan mana-mana prosiding di DNS atau mana-mana jawatankuasanya juga jelas tidak boleh dipersoalkan dalam mahkamah.

“Keputusan Speaker berkenaan tafsiran mana-mana Peraturan Tetap adalah muktamad.

“Speaker mempunyai kuasa luas dalam segala urusan berkenaan dengan urusan DNS dan Jawatankuasa Pilihan Dewan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Mat Nadzari menarik balik saman pemula (BA-24-261-03/2017) bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa ucapannya dalam perbahasan Bajet Selangor 2017 mendapat perlindungan peruntukan undang-undang.

Bertempat di Mahkamah Tinggi Shah Alam, beliau turut bersetuju untuk membayar kos RM3,000.

Dewan Negeri Selangor (DNS), Speaker dan Setiausaha diwakili oleh peguam Gobind Singh Deo (Tetuan Gobind Singh Deo & Co) dan Sangeet Kaur Deo (Tetuan Karpal Singh & Co).

Pada 1 November 2016, ADN Sungai Pinang, Dato’ Teng Chang Khim membawa usul merujuk Mat Nadzari ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dipengerusikan oleh Speaker dan diluluskan DNS.

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kemudiannya membentangkan satu penyata untuk memberikan pencelaan terhadap ADN dan dilaksanakan pada 3 April lalu.

=EZY=