Categories
SUKANKINI

MSN Selangor sedia bincang dengan persatuan sukan

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 17 OKT: Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor sedia mengadakan perbincangan dengan persatuan sukan di bawah naungannya ke arah kemajuan sukan di negeri itu.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata MSN Selangor akan menilai dan melihat bentuk bantuan diperlu berdasarkan perancangan dirangka sesuatu pertubuhan sukan itu.

“MSN Selangor sedia berbincang mengenai perkara ini.

“Kalau mereka mempunyai rancangan terhadap program pembangunan sukan, sudah pasti kita bersedia membantu dengan keupayaan dimiliki,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap Persatuan Sepak Takraw Selangor dan Persatuan Badminton Selangor yang meminta Kerajaan Negeri melakukan penambahbaikan dalam pembangunan sukannya.

Mengulas lanjut, katanya, setakat ini Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sekitar RM40,000 setahun kepada semua persatuan sukan untuk program pembangunan sukan dan bagi penyertaan dalam beberapa kejohanan.

“Walaupun saya percaya tidak cukup kepada sebahagian persatuan sukan tetapi ia memadai untuk persiapan menyediakan atlet ke kejohanan seperti Sukan Malaysia (Sukma).

“Namun begitu, terdapat persatuan sukan tertentu menyediakan program yang banyak dan tersusun.

“Kalau persatuan sukan itu sudah nampak bergerak aktif maka ia tidak menjadi halangan kepada kita untuk memberikan sokongan,” katanya.

=EZY=