Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Panas terik kesan tempias Taufan Lan sehingga minggu depan

KUALA LUMPUR 21 OKT : Cuaca panas terik melanda Semenanjung ketika ini, dijangka berterusan sehingga minggu depan, susulan tempias Taufan Lan yang menggegarkan timur Filipina pada Selasa lalu.

Profesor Klimatologi dan Oseanografi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Fredolin Tangang, berkata badai taufan itu diibarat menghempaskan ‘ekor’ ke Sabah, Labuan dan Sarawak sehingga menyebabkan hujan lebat dan angin kencang berterusan di kawasan berkenaan, lapor BH ONLINE.

Beliau berkata, fenomena hujan lebat dan angin kencang adalah kesan peralihan kelembapan udara Semenanjung yang diangkut ke kawasan berdekatan taufan, terutama Sabah.

“Semenanjung menjadi kurang berawan, cuaca stabil dan insolasi (radiasi pancaran matahari) dan suhu meningkat.

“Cuaca panas akan berterusan beberapa hari untuk keadaan cuaca musim peralihan monsun kembali. Dijangka ia menyebabkan keadaan berawan dan hujan pada lewat petang,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas fenomena cuaca panas kering yang dianggarkan melebihi 33 darjah celsius, melanda ibu kota dan Semenanjung sejak Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Fredolin menjelaskan, pergerakan Taufan Lan menjauhi sempadan negara menjadikan cuaca di Sabah dijangka semakin baik.

Beliau menepis dakwaan Taufan Lan akan melanggar Sabah kerana pergerakan taufan itu dilaporkan sudah menghampiri Okinawa, Jepun.

“Secara teori, Taufan Lan tidak akan melalui Sabah, kerana kedudukan negeri bawah bayu dekat dengan garisan Khatulistiwa.

“Bagaimanapun, apabila taufan muncul di timur Filipina, tiupan angin menjadi kuat. Sabah dipengaruhi “ekor” taufan,” katanya.

SUMBER: BH ONLINE