Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Pembangunan pendidikan tinggi terus diberikan keutamaan

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR SERI PUTRA, 21 OKT: Institusi pengajian tinggi di bawah Kerajaan Negeri sentiasa mendapat sokongan bagi pembangunan pendidikan dan melahirkan graduan berkemahiran tinggi.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kemajuan pendidikan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) amat membanggakan dan ia menarik perhatian kira-kira 10,000 pelajar untuk mengikuti pengajian di kolej berkenaan.

“Kerajaan Negeri memberi sokongan kepada pembangunan institusi pengajian tinggi khususnya KUIS dan Universiti Selangor (UNISEL) yang kita miliki.

“Saya mengumumkan beberapa insentif yang telah dan akan diberi dan melihat KUIS mampu melahirkan graduan yang mempunyai kebolehpasaran tinggi.

“Kita telah memberi pandangan kepada pengurusan KUIS supaya skop pengajaran mereka boleh diperluaskan bersesuian dengan permintaan industri pada masa ini dan juga selaras dengan landasan Kerajaan Negeri membangunkan Selangor sebagai ‘Regional Smart State’,” katanya kepada media selepas Majlis Konvokesyen ke 20 KUIS di sini, hari ini.

Pada masa ini, beliau berkata, graduan dilahirkan KUIS bukan setakat mempunyai kemahiran dalam bidang pendidikan agama tetapi juga bidang yang lain dan ia satu perkembangan cukup baik.

Maka dengan itu, katanya, Kerajaan Negeri telah memberi insentif kepada pelajar cemerlang supaya ia menjadi dorongan kepada mereka terus maju.

Dalam majlis itu, Mohamed Azmin mengumumkan pemberian insentif bagi Anugerah DYMM Sultan Selangor sebanyak RM10,000 manakala Anugerah Dato’ Menteri Besar Selangor daripada RM3,000 dinaikkan kepada RM8,000.

Seramai 1,843 graduan menerima ijazah dan diploma dalam majlis konvokesyen itu.

Pelajar Terbaik menerima Anugerah DYMM Sultan Selangor ialah Muhammad Haneef Zuleffendi, 26, iaitu graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam (Perbankan) (Kepujian).

Manakala graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab sebagai bahasa kedua (Kepujian) diterima Muhammad Awan Noor Azman.

Turut hadir, Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains & Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Rektor KUIS, Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri.

=EZY=